MELONJAK PENDIDIKAN BANGSA JOHOR


Kerajaan Negeri rencanakan lebih banyak inisiatif bagi menggalakkan kecemerlangan untuk Bangsa Johor.

 

Menyahut titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengenai kepentingan pendidikan berkualiti seiring aspirasi menuju sebagai negeri maju pada tahun 2030, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) merencanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan kecemerlangan untuk Bangsa Johor tahun ini.

 

Inisiatif berkenaan adalah Biasiswa Orang Muda Johor (BOMJ) di mana lima pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan mengikuti pengajian ke universiti terkemuka 20 terbaik dunia dan bantuan ‘one-off’ RM500 kepada 22,000 anak Johor menerusi Skim Bantuan Pendaftaran ke Institut Pendidikan Tinggi (IPT).

 

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan Insentif Mahasiswa Anak Johor berjumlah RM50 kepada 75,000 mahasiswa di semua IPT seluruh negara diikuti tawaran pinjaman boleh ubah di bawah YPJ untuk pelajar golongan B40 melalui Skim Pinjaman Pelajaran selain galakan menyertai Persatuan Mahasiswa Anak Johor di 22 IPT seluruh negara.

 

Kesemua berita gembira itu dimaklumkan oleh YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2023 Negeri Johor anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor dengan kerjasama rakan strategik, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

 

Pada majlis tersebut, seramai 50 pelajar cemerlang SPM dan 10 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diraikan seterusnya menerima anugerah dan kurniaan saguhati berjumlah RM1,000 serta cenderahati daripada YRZSNJ selain caruman RM100 ke akaun simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor