JOHOR BAKAL HIMPUN 2,700 PENCINTA DURIAN


Sidang media Persidangan Durian Asia dan Ekspo Agroworld Malaysia 2024 di Pusat Informasi Pelancongan Negeri Johor (JOTIC) yang dihadiri oleh YBhg. Sharil Nizam Abdul Rahim, Pengarah Tourism Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Negeri Johor bakal menjadi tuan rumah Persidangan Durian Asia dan Ekspo Agroworld Malaysia 2024 yang menghimpunkan 2,700 peserta dari dalam mahupun luar negara di Galeri Jualan Forest City pada 28 hingga 30 Jun ini.

 

Penganjuran acara bertaraf antarabangsa tersebut menyerlahkan usaha Kerajaan Johor dalam mempromosikan musim durian dan menggalakkan aktiviti agropelancongan di negeri ini, selari dengan status sebagai pengeluar terbesar raja buah itu.

 

Persidangan memasuki edisi kedua disertai pengusaha tanaman durian seluruh dunia itu bakal menampilkan pakar dari negara-negara Asia yang akan menyentuh teknologi penanaman durian kepada trend pasaran dan produk berasaskan durian berkaitan inovasi serta pengurusan.

 

Peserta juga berpeluang menyertai platform dagangan global yang disediakan bagi berinteraksi bersama perunding durian dan sektor perladangan serta sesi perkongsian daripada pengimport durian dan buah tropika antarabangsa, pelabur dan agensi-agensi utama.

 

Selain itu, penggemar durian juga berpeluang merasai pelbagai jenis durian secara bufet atau ‘ala carte’ seperti Musang King sepanjang program berlangsung di tapak ekspo yang bermula jam 10.30 pagi hingga 6.00 petang.

 

Terdahulu, telah berlangsungnya majlis sidang media Persidangan Durian Asia dan Ekspo Agroworld Malaysia 2024 di Pusat Informasi Pelancongan Negeri Johor (JOTIC) yang dihadiri oleh YBhg. Sharil Nizam Abdul Rahim, Pengarah Tourism Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor