SEKOLAH RINTIS PACU PEMBANGUNAN BAKAT NEGERI JOHOR


Gambar hiasan.

 

Aspirasi dimiliki Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar aspek kualiti pendidikan dipertingkatkan bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran dalam teknologi menerusi pelaksanaan sekolah rintis Johor pada Februari 2025 disambut baik oleh pakar pendidikan.

 

Inisiatif tersebut disifatkan Prof. Dr. Fatin Aliah Phang Abdullah sebagai tepat pada masanya bagi Johor membangunkan bakat yang menguasai bidang ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bahasa Inggeris bagi membekal tenaga kerja berkemahiran buat pelabur berteknologi tinggi.

 

Prof. Dr. Fatin Aliah Phang Abdullah – Profesor di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Profesor di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berpandangan sekolah rintis Johor berupaya memastikan amalan terbaik sesi pembelajaran dapat dilaksana menerusi pemantauan secara berfokus sekali gus mendorong peningkatan kualiti pendidikan setaraf dengan negara jiran.

 

Exco Majlis Profesor UTM itu turut mencadangkan supaya sekolah rintis Johor dapat memasukkan elemen pendidikan pembangunan kelestarian yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi membentuk pemikiran global dalam kalangan pelajar serta menyokong pelan pembangunan ‘Johor Green Deal’.

 

Bagi memantapkan pelaksanaan sekolah rintis Johor, sistem sokongan pendidikan perlu diperhalusi bagi membantu guru sedia ada menerusi penyediaan tenaga pengajar sambilan yang akan bertindak sebagai fasilitator dalam melahirkan suasana pembelajaran berasaskan inkuiri dan pentaksiran autentik untuk meningkatkan kemahiran para pelajar.

 

Beliau yang juga Felo Pusat Pendidikan Kejuruteraan UTM percaya pelaksanaan sekolah rintis Johor mampu mengurangkan kebergantungan melahirkan tenaga dari bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sekali gus dapat membangunkan ‘talent pool’ STEM yang berinovasi serta berkemahiran tinggi.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor