KUTIPAN TABUNG KASIH JOHOR – PALESTIN KINI RM1.8 JUTA


Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor dan penyumbang bantuan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Kasih Johor-Palestin di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Inisiatif Kerajaan Negeri melancarkan Tabung Kasih Johor-Palestin sejak awal bulan ini telah berjaya meraih kutipan sumbangan berjumlah keseluruhan kira-kira RM1.8 juta daripada pelbagai pihak sebagai tanda solidariti kepada penderitaan dihadapi penduduk negara terbabit.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.15 juta telah disumbangkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Johor iaitu Johor Corporation (JCorp) berjumlah RM300,000 diikuti Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) dan Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd. (PDT) masing-masing dengan RM150,000.

 

Selain itu, YPJ Holdings Sdn. Bhd. dan PIJ Holdings Sdn. Bhd. pula masing-masing menyumbang RM100,000. Malah Tabung Kasih Johor-Palestin turut menerima sumbangan berjumlah RM300,000 daripada Bridge Data Centres Malaysia Sdn. Bhd. dan RM50,000 oleh Iskandar Investment Berhad (IIB).

 

Melalui tabung berkenaan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Southern Volunteers (SV) dan Briged Ansar Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menyediakan barangan keperluan asas di negeri ini, untuk dibawa ke bumi Gaza menerusi misi bantuan kemanusiaan pada awal September nanti.

 

Terdahulu, berlangsungnya Majlis Penyerahan Cek Cura Sumbangan Tabung Kasih Johor-Palestin kepada Kerajaan Negeri yang diterima oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, hari ini.

 

Turut hadir, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor serta YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; YB Dato’ Amir Nasruddin, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor serta YB Dato’ Mohammed Ridha Abd. Kadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor