MAINJ TERIMA RM13.85 JUTA ZAKAT PERNIAGAAN DARIPADA 20 SYARIKAT

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor pada Majlis Serahan Zakat Perniagaan Sempena Barakah Zakat Tahun 2026 di Hotel Impiana Senai. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid
#IskandarPuteri – Usaha Kerajaan Johor dalam memperkukuh institusi zakat sebagai pemangkin pembangunan ummah terus diperkasakan menerusi kutipan zakat perniagaan berjumlah RM13,855,132.37 daripada 20 syarikat melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Jumlah kutipan berkenaan diserahkan menerusi Majlis Serahan Zakat Perniagaan Sempena Barakah Zakat Tahun 2026 itu mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam menyokong agenda kebajikan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat di negeri ini.
Lebih daripada sekadar memenuhi tuntutan agama, pembayaran zakat perniagaan menjadi manifestasi tanggungjawab sosial korporat dalam memastikan sebahagian rezeki dan keuntungan yang diperoleh turut dikongsi bersama golongan yang memerlukan.
Selain itu, bantuan zakat berjumlah RM47,341 turut disalurkan kepada tiga penerima bagi membantu memenuhi keperluan masing-masing, merangkumi bantuan rawatan hemodialisis sebanyak RM35,760 setahun kepada Encik Zawawi Gatot.
Selain itu, sumbangaan zakat turut diagihlan menerusi bantuan tambang tiket pengajian berjumlah RM1,581 kepada saudari Fatiah ‘Atiqah Mukram yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Ibrahim Cecen, Agri, Turkiye serta bantuan rawatan jantung (PDA Occlusion) sebanyak RM10,000 kepada adik Lili Elena Muhammad Syafiq.
Kerajaan Johor melalui MAINJ akan terus memperkukuh pengurusan dan pengagihan zakat secara berkesan bagi memastikan setiap sumbangan yang ditunaikan dapat dimanfaatkan oleh golongan asnaf, sekali gus membina masyarakat yang lebih sejahtera dan saling membantu.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir ke Majlis Serahan Zakat Perniagaan Sempena Barakah Zakat Tahun 2026 di Hotel Impiana Senai, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#MAINJ
#BarakahZakat2026
#ZakatPerniagaan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


