JOHOR SEDIA GEGAR BUMI KENYALANG


YB Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Johor di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kontinjen Johor melaungkan kesediaan berjuang habis-habisan pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 sekali gus menolak sebarang tekanan meskipun turun selaku juara bertahan temasya dwi-tahunan tersebut.

 

Seramai 599 atlet, 188 pengurus pasukan dan jurulatih serta 85 urusetia yang akan membawa cabaran kontinjen Johor bermula 17 hingga 24 Ogos depan diingatkan supaya sentiasa bekerjasama dalam mengharumkan nama baik negeri seterusnya menghadiahkan kejayaan gemilang.

 

Dalam pada itu, YB Datuk Pandak Ahmad, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, dilantik secara rasmi sebagai Ketua Kontinjen Johor dibantu YB Dato’ Mohd Noorazam Osman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selaku Timbalan Ketua Kontinjen I.

 

Turut menggalas tugas selaku Timbalan Ketua Kontinjen II ialah YB Hasrunizah Hassan, ADUN Pulai Sebatang dan Muhammad Farkhan Haron, petinju profesional kelahiran negeri Johor sebagai Timbalan Ketua Kontinjen III.

 

Terdahulu, YB Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Johor di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

 

Hadir sama, YB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri; YB Dato’ Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YB Dato’ Ashari Kasnan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) dan YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan).

 

#RiseUpJohor
#SukmaSarawak2024
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor