SUKMA SARAWAK XXI: PASUKAN JUDO JOHOR KOTAKAN JANJI, BAWA PULANG 4 PINGAT EMAS!


Atlet Johor yang bertanding tidak membawa pulang tangan kosong, sekali gus menunaikan janji untuk menjadi antara sukan yang mampu memberi sumbangan pingat emas kepada Kontinjen SUKMA Johor. | Foto MDJ.

 

Skuad Judo Johor membuktikan mereka berada dalam kelasnya yang tersendiri apabila mengungguli acara sukan seni bela diri itu selepas berjaya membawa pulang empat pingat emas dan tiga pingat gangsa dalam tujuh acara yang dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak XXI di Dewan Balau, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah, hari ini.

 

Lebih mengujakan, ia menyaksikan semua atlet Johor yang bertanding hari ini tidak membawa pulang tangan kosong, sekali gus menunaikan janji untuk menjadi antara sukan yang mampu memberi sumbangan pingat emas kepada Kontinjen SUKMA Johor.

 

Pencapaian cemerlang itu turut menjadi kenangan manis kepada atlet judo Johor, Muhammad Hakimi Halidon, 21, salah seorang penyumbang pingat emas menerusi acara judo lelaki bawah 66 kilogram (KG) yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan SUKMA setelah memenangi pingat emas untuk Negeri Johor selepas mengumpul koleksi dua gangsa dalam dua temasya sukan dwi-tahunan sebelum ini.

 

Anak jati Daerah Kota Tinggi yang sudang berkecimpung dalam sukan terbabit sejak lapan tahun lalu itu mengikut jejak langkah abangnya, Muhammad Haikal Iskandar Halidon sebagai idola yang juga merupakan atlet SUKMA yang pernah menyumbang pingat emas bagi Negeri Johor pada temasya SUKMA Perak 2018 yang lalu.

 

Begitu juga bagi Siti Roha Miszuraini, 21, penyumbang pingat emas dalam acara atas 70 KG menyifatkan tindakannya menjadikan pusat latihan kecergasan sebagai rumah pertama merupakan tindakan yang tidak sia-sia dan ia ternyata membuahkan hasil apabila kejayaannya itu turut membuka jalan luas kepadanya untuk ke skuad kebangsaan.

 

Kedua-dua atlet berkenaan iaitu Muhammad Hakimi dan Siti Roha memasang impian untuk lebih optimis dan fokus mewakili Johor serta Malaysia ke temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla pada Disember tahun hadapan.

 

Sementara itu bagi Othman Mohd Nizam Yeo, Ketua Jurulatih Pasukan Judo Johor pula memberitahu, perjalanan skuadnya tidak akan terhenti di sini kerana kejayaan hari ini dijangka akan diteruskan esok apabila skuad selatan tanah air itu turut menyasarkan sekurangnya dua pungutan pingat emas.

 

Sasaran pingat emas atau bonus itu akan membabitkan tujuh lagi acara yang akan dipertandingkan dalam acara judo iaitu kategori Lelaki Bawah 81 KG; Lelaki Bawah 90 KG; Lelaki Atas 90 KG; Wanita Bawah 44 KG; Wanita Bawah 48KG; Wanita Bawah 52 KG dan Wanita Bawah 57 KG yang masing-masing akan berlangsung di Dewan Balau, UiTM Sarawak Kampus Mukah, esok.

 

#RiseUpJohor
#SukmaSarawak2024
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor