SEMUA BERMULA KERANA IBU


A. Kumar, 59, yang menderma darah tiga hingga empat kali setiap tahun demi ibu yang menghidap kanser payudara. | Foto MDJ Bayu Wira

 

Siapa sangka, pengorbanan yang dilakukan demi ibu yang menghidap kanser payudara kini menjadi rutin wajib bagi A. Kumar, 59, yang menderma darah tiga hingga empat kali setiap tahun.

 

Kumar berkongsi bahawa pengalaman menjaga ibunya menjadi titik mula dia menderma darah pada usia 25 tahun apabila ibunya memerlukan darah untuk menjalani pembedahan.

 

Walaupun ibunya telah meninggal dunia lima tahun lalu, dia terus menderma darah sebagai cara membantu mereka yang memerlukan, selain turut merasakan perubahan pada dirinya yang lebih sihat serta tidak pernah mengambil cuti sakit selama lebih 20 tahun .

 

Dengan 125 kali pendermaan, Kumar yang memiliki darah jenis ‘A+’ telah diberikan Anugerah Penghargaan Platinum sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024 peringkat Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) di Dewan Jubli Intan Johor Bahru, semalam.

 

Sementara itu, penerima anugerah yang sama, Ong Ling Gee, 55, mula menderma darah pada usia 20-an kerana dorongan diri sendiri untuk membantu mereka yang memerlukan.

 

Telah menderma sebanyak 112 kali, Ling Gee menyatakan bahawa keputusannya adalah tepat kerana kini dia jarang mengalami masalah kesihatan, berbanding rakan-rakannya yang sering memerlukan pemeriksaan dan rawatan.

 

Pada awalnya, keluarga tidak menyokong keputusannya untuk menderma darah namun setelah memahami kebaikannya, mereka mula menerima dan beberapa ahli keluarga juga mengikuti gaya hidup sihat yang diamalkannya.

 

Ling Gee berharap golongan muda yang sihat dapat turut serta menderma darah kerana manfaat kesihatannya yang besar selain dapat membantu orang lain terutamanya apabila melibatkan nyawa.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor