INOVASI ‘GASING REKREASI’ KEKALKAN PERMAINAN TRADISIONAL
Bagi generasi muda yang baru berjinak-jinak dengan permainan gasing, sudah tentu bermandi peluh untuk mengendalikan tali gasing agar dapat berpusing dalam tempoh lebih lama.
Namun, hasil kajian mendalam dilakukan oleh Yunus Ismail, 53, gasing rekreasi ciptaannya sejak tahun 2013 berjaya menyelesaikan masalah orang muda yang ingin mencuba permainan tradisional itu selain boleh dijadikan sebagai hiasan biarpun tidak sama dengan gasing pangkah.
Mewarisi perusahaan bapanya di Felda Kampung Tenang, Segamat, Yunus berpegang teguh kepada prinsip ‘tiada yang lama tiada yang baharu’ dalam mencipta gasing rekreasi untuk menjadikannya sebagai permainan universal supaya boleh dimainkan segenap lapisan masyarakat.
Selain itu, gasing rekreasi ciptaan Yunus yang menggunakan kayu cengal dan merbau kadang kala menerima permintaan melebihi kapasiti pengeluaran pada 50 biji sehari memberikannya pendapatan hampir RM500 dalam tempoh lapan jam.
Pernah mengikuti kursus dan latihan kraftangan menerusi bantuan Pejabat Daerah Segamat, gasing ciptaan Yunus turut menerima tempahan dari agensi, jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan mengikut kepada saiz dan warna permintaan masing-masing.
Usaha menyemarakkan permainan tradisi itu juga sedang diperluaskan oleh Yunus melalui kajian bagi menghasilkan gasing ‘toyol’ untuk diangkat ke persada antarabangsa serta menyertai pertandingan pertunjukan gasing sedunia.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor