JOHOR PERKUKUH PELANCONGAN KESIHATAN, CATAT HASIL RM205.2 JUTA PADA 2025

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, bersama YB Tuan Pannir Selvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, mempengerusikan Mesyuarat Pelancongan Kesihatan Negeri Johor yang melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Tourism Johor, hospital swasta, pengurusan lapangan terbang serta wakil sektor perubatan. | Foto FB AH SOON
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh sektor pelancongan kesihatan menerusi kerjasama strategik antara sektor kesihatan dan pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa mendapatkan perkhidmatan perubatan berkualiti di negeri ini.
YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, bersama YB Tuan Pannir Selvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, mempengerusikan Mesyuarat Pelancongan Kesihatan Negeri Johor yang melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Tourism Johor, hospital swasta, pengurusan lapangan terbang serta wakil sektor perubatan.
Mesyuarat berkenaan menjadi platform untuk bertukar-tukar pandangan dan menyelaraskan langkah bagi memperkukuh pembangunan sektor pelancongan kesihatan, khususnya bersempena Tahun Melawat Johor 2026.
Pada 2025, sektor pelancongan kesihatan Johor merekodkan hasil sebanyak RM205.2 juta, meningkat 14 peratus berbanding tahun sebelumnya. Bagi separuh pertama 2026, hasil sektor itu turut mencecah RM106.8 juta, mencerminkan potensi pertumbuhan yang berterusan.
Indonesia, Singapura dan China kekal sebagai pasaran utama, manakala jumlah pelancong kesihatan dari Singapura, China, Vietnam dan India masing-masing mencatatkan peningkatan melebihi 10 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pasaran China merekodkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 34 peratus, diikuti Singapura sekitar 26 peratus, sekali gus menggambarkan peningkatan keyakinan pelancong antarabangsa terhadap kualiti perkhidmatan perubatan yang ditawarkan di Johor.
Sejak 2022, sektor berkenaan menunjukkan pertumbuhan yang konsisten dari tahun ke tahun.
Seiring dengan perkembangan itu, beberapa hospital swasta turut merancang pelaburan untuk membina hospital baharu atau memperluas fasiliti perkhidmatan sedia ada bagi meningkatkan kemudahan serta kapasiti perubatan di negeri ini.
Bagaimanapun, kekurangan tenaga kerja kesihatan turut dikenal pasti sebagai antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi memastikan kapasiti perkhidmatan ini mampu memenuhi permintaan pada masa hadapan.
Kerajaan Negeri akan terus menyelaraskan kerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan kesihatan dan ekonomi perubatan seiring dengan peningkatan kemudahan, keupayaan perkhidmatan serta perancangan sumber manusia.
#JohorSafeZone
#PelanconganKesihatan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



