TINDAKAN BERSEPADU BENDUNG PENCEMARAN BAU


Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor melalui Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bagi membendung isu pencemaran bau di Sungai Pandan. | Foto MDJ Bayu Wira

 

Kerajaan Johor bertindak pantas bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor melalui Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bagi membendung isu pencemaran bau di Sungai Pandan yang dikesan pada Selasa lalu.

 

Satu mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) pada semalam dipengerusikan YB Dato’ Asman Shah Abd Rahman, Pegawai Daerah Johor Bahru telah mengarahkan agar JAS menyediakan terma rujukan (TOR) bagi pemindahan sisa kimia sebaik sahaja keputusan sampel diperoleh pada 8 September.

 

JBPM juga telah mengambil tindakan proaktif bagi mengelakkan pencemaran merebak dengan menutup bahan tercemar menggunakan habuk kayu dan kanvas manakala pemindahan sisa kimia tercemar dari Kawasan Perindustrian Tiong Nam ke pusat rawatan dengan segera akan diuruskan oleh JPBD.

 

Aduan awal telah diterima oleh JBPM dan JAS pada 3 September lalu mengenai bau busuk dan air berwarna hitam di kawasan anak Sungai Pandan yang memaksa sekolah agama dan Tadika KEMAS berhampiran kawasan berkenaan ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

 

Lantaran itu, siasatan dijalankan JAS pada 4 September telah mengesan pencemaran berpunca dari Kawasan Perindustrian Tiong Nam, dengan sampel tanah dan air telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut selain membuat pemantauan menggunakan dron bagi mengenal pasti jarak kesan pencemaran di sekitar kawasan terbabit.

 

Justeru, Kerajaan Johor memberi jaminan keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan serta menasihatkan masyarakat agar tidak panik dan segera menghubungi pihak berwajib sekiranya mempunyai maklumat berkaitan bagi membolehkan tindakan segera diambil.

 

Kerajaan Negeri mengecam keras tindakan tidak bermoral melupuskan sisa kimia secara haram, yang mengancam keselamatan awam dengan pesalah boleh dikenakan penjara mandatori dan denda maksimum RM10 juta di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor