KEUPAYAAN PTNJ TERUS DIPERKASA MENERUSI PROGRAM LUAR NEGARA

Lima Pegawai Tadbir Negeri Johor secara rasmi berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengikuti Program Luar Negara di Imperial College London, United Kingdom. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#Selangor – Keupayaan Pegawai Tadbir Negeri Johor (PTNJ) terus diperkasa melalui pelaksanaan Program Luar Negara sebagai inisiatif strategik dalam usaha mengasah kompetensi pegawai tadbir negeri untuk terus berdaya saing serta beradaptasi dengan perubahan landskap pentadbiran moden masa kini.
Seiring dengan inisiatif tersebut, Kohort 2 Program Luar Negara melibatkan lima Pegawai Tadbir Negeri Johor akan mengikuti program ‘Executing Sustainability Strategies’ di Imperial College London di United Kingdom (UK) bermula pada 27 April hingga 1 Mei ini.
Program ini menghimpunkan pegawai-pegawai terpilih bagi memperkukuh kepimpinan strategik, meningkatkan kefahaman terhadap tadbir urus mampan serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa demi mempertingkat keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
Antara pegawai dipilih ialah YBhg. Encik Mohd. Farid Kassim, Pegawai Daerah Batu Pahat; YBhg. Tuan Haji Norrizam Muhamad, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar dan YBhg. Encik Mohd Fahmy Yahya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang.
Turut sama terpilih ialah YBhg. Dr. Mohd Shahrizan Sahid, Timbalan Pengarah l (Pengurusan) Pejabat Tanah Dan Galian Johor serta YBhg. Encik Mohd Haniff Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).
Inisiatif Kerajaan Johor itu dilaksanakan melalui Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (APTNJ) dengan kerjasama strategik daripada Permodalan Darul Ta’zim (PDT) yang menyokong pelaksanaan program berimpak tinggi tersebut.
Terdahulu, seramai lima Pegawai Tadbir Negeri Johor secara rasmi berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengikuti Program Luar Negara di Imperial College London, United Kingdom, semalam.
#JohorSafeZone
#PTNJ
#ProgramLuarNegara
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


