IMT-GT PACU DAYA TAHAN DAN KEMAMPANAN EKONOMI JOHOR


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan Forum Ketua Menteri dan Gabenor IMT-GT ke-21 sempena Mesyuarat Menteri IMT-GT ke-30 di Desaru Coast Conference Centre, Kota Tinggi. | Foto MDJ Bayu Wira

 

Kerjasama ekonomi serantau menerusi blok Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dijangka memberi manfaat buat Johor dalam merealisasikan hasrat menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.

 

Keyakinan tersebut dizahirkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dengan melihat kelebihan kedudukan strategik negeri ini selain memiliki beberapa strategi utama seperti Ibrahim Technopolis (IBTEC) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SES) yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak.

 

Menerusi Forum Ketua Menteri dan Gabenor IMT-GT ke-21, Kerajaan Negeri melaungkan komitmen bagi mewujudkan daya tahan dan kemampanan ekonomi dalam usaha memastikan segenap lapisan masyarakat di negeri ini menerima manfaat daripada Agenda Maju Johor 2030.

 

Meskipun baru menyertai blok IMT-GT pada 2021, Kerajaan Johor menghargai kepercayaan diberikan bagi menjadi tuan rumah seterusnya menyatakan kesediaan untuk turut bekerjasama membangunkan ekonomi di kalangan negara-negara anggota yang mencecah lebih 90 juta penduduk.

 

Kerajaan Johor turut bersedia menyediakan pelbagai tawaran dan insentif menarik menerusi Zon Kewangan Khas Forest City dan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang semakin berkembang pesat menjadi hab petrokimia di rantau ini.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan Forum Ketua Menteri dan Gabenor IMT-GT ke-21 sempena Mesyuarat Menteri IMT-GT ke-30 di Desaru Coast Conference Centre, Kota Tinggi.

 

Hadir sama, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan; YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor; YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka; YDH Elen Setiadi, Gabenor Wilayah Sumatera Selatan, Republik Indonesia dan YDH Songklod Sawangwong, Gabenor Wilayah Trang, Thailand.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor