TINDAKAN ‘HANDS-ON’ MITIGASI BANJIR


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor segera mengadakan lawatan seterusnya menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Dato’ Onn Jaafar dan Sekolah Kampung Tengah, Renggam.

 

Banjir di Kluang, Pontian dan Batu Pahat menyaksikan enam pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi bagi memberikan perlindungan kepada 134 keluarga terdiri 502 penduduk dari 10 kampung yang terjejas di kawasan Machap, Benut dan Semarang, malah Kerajaan Negeri tidak berpeluk tubuh dengan tindakan mendahulukan rakyat.

 

Hujan lebat berterusan dengan kadar taburan melebihi paras biasa pada 6 Oktober lalu telah mengakibatkan kediaman penduduk dinaiki air, namun kesiapsiagaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) membolehkan mangsa-mangsa banjir dipindahkan ke PPS yang dibuka.

 

Prihatin dengan kebajikan dan keselamatan mangsa banjir, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor segera mengadakan lawatan seterusnya menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Dato’ Onn Jaafar dan Sekolah Kampung Tengah, Renggam.

 

Selain komitmen 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Johor yang mengenal pasti kawasan hotspot banjir serta menggerakkan usaha bagi mengatasi isu terbabit, sinergi dengan Kerajaan Persekutuan turut membolehkan 10 projek Tebatan Banjir Keutamaan Tinggi (TBBT) di Johor disegerakan.

 

Mengimbas kembali lawatan YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ke daerah Kluang pada bulan lalu, sebanyak sembilan projek TBBT bernilai RM1.45 bilion di Johor telah mula dilaksanakan demi kesejahteran dan keselamatan rakyat.

 

Kesemua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkenaan adalah RTB Sungai Johor Fasa 1 Pakej 1, Kota Tinggi; RTB Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 dan Pakej 2 di Segamat; RTB Bandar Batu Pahat; RTB Lembangan Sungai Kesang di Tangkak dan RTB Sungai Pemandi di Kota Tinggi.

 

Pengurusan banjir oleh JPBN yang dipengerusikan YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor juga pernah mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan selain dukungan peranan sukarelawan Southern Volunteers (SV) menyampaikan bantuan dan kerja pembersihan pasca banjir.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor