JOHOR TERUS PERJUANG PENGISIAN PETUGAS HOSPITAL PASIR GUDANG

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor meninjau perkembangan pengoperasian HPG, meliputi pembukaan wad, kesiapsiagaan fasiliti dan pengisian tenaga kerja bagi memastikan keperluan kesihatan rakyat terus dipenuhi. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar sektor kesihatan terus diperkukuh demi kesejahteraan Bangsa Johor, Kerajaan Johor terus memperjuangkan pengisian perjawatan di Hospital Pasir Gudang (HPG) bagi memastikan keperluan tenaga kerja seiring dengan peningkatan kapasiti pengoperasian hospital berkenaan.
Setakat 6 November 2026, kadar pengisian kakitangan HPG berada pada tahap 56 peratus, iaitu 1,276 daripada keseluruhan 2,271 jawatan yang diperuntukkan telah diisi.
Lebih kritikal, pengisian jawatan jururawat kini berada pada kadar 40 peratus, manakala pengisian jawatan pakar perubatan pula hanya 39 peratus, sekali gus menjadikan isu tenaga kerja antara perkara utama yang perlu ditangani dan disegerakan.
Malah, Kerajaan Negeri telah beberapa kali membangkitkan isu berkenaan, termasuk dalam pertemuan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bagi mempercepatkan pengisian jawatan dan memastikan HPG mempunyai tenaga kerja yang mencukupi.
Pada masa yang sama, Johor turut mengambil langkah sokongan menerusi Southern Volunteers (SV) Healthcare yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri bagi membantu melancarkan operasi hospital, meringankan beban tugas serta menjaga kebajikan doktor, jururawat dan seluruh petugas kesihatan.
Usaha berkenaan akan terus diperkukuh bagi memastikan aspek kebajikan petugas kesihatan diberi perhatian, selain membantu HPG beroperasi pada kapasiti optimum dan memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan rakyat di Pasir Gudang serta kawasan sekitarnya.
Setakat 1 November 2026, sebanyak 239 daripada keseluruhan 304 katil HPG telah mula beroperasi, bersamaan 79 peratus daripada kapasiti keseluruhan, dengan kapasiti penuh 304 katil disasarkan dicapai secara berperingkat menjelang Mac 2027.
Peningkatan kapasiti tersebut perlu bergerak seiring dengan pengisian tenaga kerja yang mencukupi supaya kemudahan dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan dapat dimanfaatkan rakyat secara optimum.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, meninjau perkembangan terkini pengoperasian HPG termasuk kemajuan pembukaan wad, kesiapsiagaan fasiliti serta pengisian tenaga kerja bagi memastikan perkhidmatan kesihatan memenuhi keperluan rakyat.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


