KEBERANGKATAN DYAM RAJA MUDA JOHOR SERLAH KEISTIMEWAAN TABIKA KEMAS BANGSA JOHOR

DYAM Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor berangkat ke Majlis Menyantuni Anak-Anak Tabika Rintis Bangsa Johor serta Kurniaan Sumbangan Bantuan kepada Bangsa Johor di Tabika KEMAS Bangsa Johor (TKBJ) Larkin Court, Larkin. | Foto MDJ Nazreen Aimie
#JohorBahru – Duli Yang Amat Mulia Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor berangkat ke Majlis Menyantuni Anak-Anak Tabika Rintis Bangsa Johor serta Kurniaan Sumbangan Bantuan kepada Bangsa Johor di Tabika KEMAS Bangsa Johor (TKBJ) Larkin Court, Larkin, hari ini, sekali gus mencerminkan keprihatinan berterusan Institusi DiRaja Johor terhadap pembangunan pendidikan awal kanak-kanak dan kebajikan rakyat di negeri ini.
Keberangkatan Raja Muda Johor turut mengetengahkan kepentingan TKBJ yang merupakan cetusan ilham DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, sebagai pelengkap kepada ekosistem Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bagi menyediakan pendidikan awal berkualiti untuk melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu dan berdaya saing.
Bagi Fasa Pertama pelaksanaan inisiatif berkenaan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.19 juta bagi menaik taraf infrastruktur, melaksanakan latihan guru serta memperkasakan silibus pembelajaran melibatkan 172 murid di lima tabika merangkumi tujuh kelas di empat lokasi sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang, manakala sebanyak RM550,000 dikhususkan kepada TKBJ Flat Perumahan Larkin Court 1.
Kerajaan Negeri turut komited meneruskan kerjasama erat dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi memperkukuh dan memperluas inisiatif TKBJ khususnya dalam memastikan kanak-kanak di kawasan bandar mahupun luar bandar mendapat akses kepada persekitaran pendidikan awal yang berkualiti sebagai persediaan melangkah ke alam persekolahan.
Keberangkatan tiba DYAM Tunku Iskandar disambut barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, pengurusan tertinggi KEMAS, warga pendidik serta ibu bapa sebelum Raja Muda Johor meninjau kemudahan pembelajaran yang selesa dan kondusif serta dilengkapi bahan dan peralatan interaktif moden bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran lebih menarik dan kreatif.
Selain itu, Raja Muda Johor turut diberikan taklimat mengenai pendekatan pembelajaran TKBJ yang menekankan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), pengukuhan komunikasi dalam bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa Melayu, penghayatan hafazan al-Quran serta penerapan Modul Kesultanan Islam Johor bagi menyemai semangat patriotisme dan kecintaan terhadap sejarah, identiti serta warisan negeri sejak usia muda.
Suasana pembelajaran bertambah ceria apabila DYAM Tunku Iskandar meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan kanak-kanak tabika yang sedang mengikuti sesi pembelajaran interaktif sebelum bergambar kenangan bersama warga pendidik serta murid sekali gus mencerminkan keakraban hubungan Institusi DiRaja Johor dengan rakyat selaras dengan semangat ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.
Turut mengiringi keberangkatan Raja Muda Johor adalah YAM Tunku Abu Bakar Ibni Tunku Ismail; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor dan YBhg. Datuk Mohd Hanafiah Man, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Malaysia.
#JohorSafeZone
#TabikaKEMAS
#TKBJ
#LarkinCourt
#RajaMudaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


