TEKAD UBAH NASIB KELUARGA


Majlis Pelancaran Johor GEMS dan Penyerahan Biasiswa Kenangan Dato’ Onn di SMK Tun Habab, Kota Tinggi yang disempurnakan oleh YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Melihat pengorbanan bapa bekerja sendiri mendorong Qistina Umairah Mohd Shukor, 15, tekad mengubah nasib dan meringankan beban keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh untuk merealisasi cita-cita bergelar seorang guru.

 

Anak sulung daripada dua beradik yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, Kota Tinggi itu merupakan antara 20 penerima Biasiswa Kenangan Dato’ Onn (BKDO) yang disampaikan oleh Kerajaan Negeri, hari ini.

 

Bagi Muhammad Asyraf Mohd Zaipri, 19, pelajar tingkatan enam SMK Pengerang Utama, biasiswa diterima bernilai RM1,000 akan digunakan sebaik mungkin sebagai tabungan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) di dalam bidang pendidikan.

 

Sementara itu, Taufiq Faqrullah Sha’ari, 15, pelajar SMK Adela pula menzahirkan penghargaan kepada usaha Kerajaan Johor yang memberi suntikan semangat dalam bentuk biasiswa untuk digunakannya membeli bahan pendidikan seperti buku latihan demi meraih keputusan cemerlang.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Johor GEMS dan Majlis Penyerahan BKDO Tahun 2024 di SMK Tun Habab, Kota Tinggi.

 

Sebanyak RM300,000 disediakan Kerajaan Negeri untuk meneruskan inisiatif BKDO yang telah bermula sejak tahun 1984 bagi membantu pelajar cemerlang sekolah menengah dari keluarga kurang berkemampuan di bawah Teras Keenam : Orang Muda Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor