PENJAWAT AWAM PERSEKUTUAN TERIMA INSENTIF KHAS DUA TAHUN BERTURUT-TURUT

Pemberian insentif itu juga diharap dapat membantu meringankan perbelanjaan harian mereka dan keluarga, khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat. | Foto Nurina Aisyah.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor meneruskan pemberian insentif khas kepada 145,648 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM72.82 juta menerusi Belanjawan Johor 2027.
Inisiatif bagi tahun kedua berturut-turut itu menyaksikan setiap penjawat awam Persekutuan yang layak bakal menerima RM500 seorang, dengan pembayaran dibuat secara berperingkat iaitu RM300 pada Disember 2026 dan baki RM200 pada Februari 2027.
Kesinambungan bantuan berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menghargai sumbangan penjawat awam Persekutuan yang menjadi antara tulang belakang kepada kelancaran penyampaian perkhidmatan serta pembangunan negeri.
Peranan penjawat awam tersebut dalam memastikan kelancaran sektor penting seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan sememangnya memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat, sekali gus mereka wajar dihargai menerusi kesinambungan inisiatif berkenaan.
Selain menjadi tanda pengiktirafan terhadap khidmat bakti penjawat awam, pemberian insentif itu juga diharap dapat membantu meringankan perbelanjaan harian mereka dan keluarga, khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2027 bertemakan ‘Johor Maju, Rakyat Sejahtera’ pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMaju,RakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


