JKSM TURUN PADANG BERI KEFAHAMAN SULH
Kaedah penyelesaian pertikaian dalam Islam secara baik atau Sulh diperkenalkan di mahkamah-mahkamah Syariah sejak 2002 terbukti berkesan dalam menyelesaikan konflik kekeluargaan dengan sebanyak 88.98 peratus daripada 11,921 keseluruhan kes berjaya diselesaikan pada tahun lalu.
Bagi memberi penerangan mengenai produk dan perkhidmatan Sulh terdapat di mahkamah syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Bantuan Guaman menganjurkan Program Komuniti Sulh Peringkat Negeri Johor.
Program bertemakan ‘Kemuliaan Syariah : Al-Sulh Khair, Pemangkin Masyarakat dan Keluarga Bahagia Madani’ bertujuan memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai hak yang boleh dituntut dari sudut perundangan Islam, maklumat tempat sewajarnya dirujuk jika berhadapan masalah kekeluargaan dan perkhidmatan peranan mahupun proses Sulh yang disediakan oleh mahkamah syariah.
Selain itu, program turun padang melibatkan aktiviti praktikal dan ‘hand on’ penerangan itu juga menjadi platform jalinan kerjasama pintar antara JKSM, agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan pelaksanaan dasar, program serta inisiatif mencapai keberhasilan bagi manfaat kumpulan sasar.
Terdahulu, YB Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang juga Penasihat MAINJ menyempurnakan perasmian Komuniti Sulh Peringkat Negeri Johor di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor Bahru.
Turut hadir, YAA Dato’ Haji Mohd Amran Mat Zain, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie JKSM; YBhg. Tuan Haji Nasri Md. Ali, Pengarah JAINJ dan YBhg. Tuan Haji Hasrin Kamal Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor