JOHOR VOLUNTEERS FORCES KEMBALI
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi menghidupkan semula Johor Volunteers Forces (JVF), sebuah pasukan kesukarelawanan yang akan melatih seluruh penjawat awam negeri ini dari aspek pengurusan kecemasan dan bencana.
Bagi tujuan itu, sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri pada Belanjawan Johor 2025 bagi menjayakan inisiatif kedua daripada 43 inisiatif di dalam Teras Pertama: Tadbir Urus Kerajaan dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam Negeri Johor.
Penubuhan JVF ini juga secara tidak langsung akan mewujudkan satu lagi cabang kesukarelawanan yang akan terdiri daripada semua penjawat awam Negeri Johor bagi meningkatkan tenaga kerja bantuan dan seterusnya dapat membantu agensi keselamatan terutama ketika berlakunya situasi bencana seperti banjir.
Pasukan JVF ini sebenarnya telah ditubuhkan oleh DYMM Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar pada tahun 1905 bagi melatih rakyat Johor untuk menjadi Pegawai Tadbir Kerajaan menerusi latihan ketenteraan agar lebih berdisiplin dan berwibawa, sekali gus dapat membentuk jati diri serta identiti Bangsa Johor.
Tidak terhad kepada kumpulan Pegawai Tadbir Kerajaan, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi menggerakkan program Johor Youth Patriot dengan kerjasama Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) yang akan menyasarkan pembabitan golongan belia.
Inisiatif kesebelas di bawah teras Orang Muda Johor itu turut mensasarkan pembentukan jati diri, disiplin, ketahanan mental dan fizikal serta semangat patriotisme dalam kalangan golongan berkenaan, sekali gus memperkasa pembangunan belia secara holistik dan berkebolehan dalam pelbagai aspek kehidupan.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor