MURID ISTIMEWA DARI JOHOR CIPTA KEJAYAAN DI PERTANDINGAN ROBOTIK ANTARABANGSA

Di sebalik kejayaan itu, terdapat usaha berterusan guru pembimbingnya, Abdul Hafiz Margono, 29, yang membantu Azizul Haziq memahami konsep robotik, menguasai peraturan pertandingan dan membuat persediaan bagi menghadapi persaingan di peringkat antarabangsa. | Foto SKPK Batu Pahat
#IskandarPuteri – Disleksia bukan penghalang buat Azizul Haziq Muhamad Haire, 12, murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Batu Pahat, membuktikan keupayaannya apabila muncul juara kategori Brickspeed MRT dalam pertandingan 12th Kontes Robot Nusantara (KRON) International 2026 – Asian Robotic Competition.
Berlangsung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, kejayaan itu turut menyaksikan SKPK Batu Pahat muncul juara keseluruhan pertandingan, selain meraih dua pingat gangsa menerusi acara Creative Design (Inovasi) yang melibatkan penyertaan 169 kumpulan dan acara Robot Theater.
Di sebalik kejayaan itu, terdapat usaha berterusan guru pembimbingnya, Abdul Hafiz Margono, 29, yang membantu Azizul Haziq memahami konsep robotik, menguasai peraturan pertandingan dan membuat persediaan bagi menghadapi persaingan di peringkat antarabangsa.
Meskipun berdepan cabaran dalam menerangkan konsep dan sistem robotik yang kompleks kepada murid dengan keperluan pembelajaran serta tahap kefahaman berbeza, Abdul Hafiz tetap komited mencari pendekatan bersesuaian bagi memastikan mereka dapat memahami dan menguasai kemahiran robotik secara berperingkat.
Menyedari keperluan pembelajaran Azizul Haziq yang mempunyai masalah pembelajaran dan disleksia, Abdul Hafiz menggunakan arahan mudah, skrip ringkas dan bahan bergambar sebagai panduan, selain meluangkan lebih banyak masa untuk membantunya menguasai kemahiran robotik.
Usaha itu turut mendapat sokongan warga sekolah serta kerjasama Maker Space Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diterajui Dr. Haji Shukri Ahmad, sekali gus membuka ruang kepada murid pendidikan khas meneroka bidang robotik melalui latihan dan penyertaan dalam pelbagai pertandingan sejak awal tahun ini.
Bagi Abdul Hafiz, penyertaan dalam pertandingan bukan sekadar mengejar kemenangan, sebaliknya memberikan pengalaman kepada murid untuk membina keyakinan diri, memupuk kreativiti dan mengaplikasikan kemahiran STEM yang dipelajari.
Pendekatan itu turut menyokong usaha Kerajaan Negeri melahirkan generasi muda yang kritis, kreatif dan berdaya saing, selain membuka peluang kepada murid pendidikan khas untuk mengetengahkan potensi mereka dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Lebih membanggakan, Azizul Haziq merupakan satu-satunya peserta MBPK dalam kejohanan yang disertai wakil dari lima negara itu, sekali gus membuktikan bahawa murid pendidikan khas juga berupaya bersaing dan mencipta kejayaan apabila diberikan peluang, bimbingan serta pendekatan pembelajaran yang bersesuaian.
#JohorSafeZone
#PendidikanKhas
#JohorLeads
#STEM
#PendidikanBangsaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


