MASJID AR-RAHMAN KULAI RAIH ANUGERAH MASJID MESRA MUSLIMAT 2026

Pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha memperkukuh fungsi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai ruang pembangunan kerohanian dan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang inklusif. | Foto Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JAINJ.
#IskandarPuteri – Masjid Ar-Rahman di Taman Putri, Kulai mencipta sejarahnya yang tersendiri, sekali gus turut mengharumkan nama Johor apabila dinobatkan sebagai pemenang Kategori Masjid Mesra Muslimat sempena Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026M/1448H.
Kejayaan itu melayakkan masjid berkenaan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 berserta plak dan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkasakan penglibatan golongan Muslimat di institusi masjid.
Pada majlis sama, Masjid An Nur, Kampung Sri Dayong, Batu Pahat pula turut menerima pengiktirafan tempat kedua bagi kategori yang sama dengan membawa pulang wang tunai RM20,000, plak dan sijil penghargaan.
Kedua-dua masjid yang mewakili Johor ini telah melalui proses penilaian Standard Penarafan Masjid Malaysia bersama 26 masjid lain dari seluruh negara.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha memperkukuh fungsi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai ruang pembangunan kerohanian dan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang inklusif.
Pencapaian itu turut menjadi dorongan kepada jawatankuasa pengurusan masjid, pegawai, sukarelawan, ahli kariah dan golongan Muslimat untuk terus meningkatkan mutu pengurusan, kemudahan serta program pengimarahan masjid.
Terdahulu, anugerah berkenaan disampaikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sempena Konvensyen Masjid Nusantara 2026 di Dewan Sri Siantan, Perbadanan Putrajaya pada 15 Oktober 2026.
#JohorSafeZone
#MasjidJohor
#AnugerahMasjidMalaysia
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


