JOHOR KEKAL PENERAJU SEKTOR PERTANIAN NEGARA
![](https://mediadigitaljohor.gov.my/v1/wp-content/uploads/2025/02/476392985_623675623698225_1718005237672475751_n.jpg)
Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Johor terus menjadi peneraju dan penyumbang terbesar sektor pertanian negara setakat ini apabila merekodkan RM17.21 billion atau 17.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor berkenaan.
Berdasarkan pencapaian signifikan tersebut, Kerajaan Negeri komited memperkasakan Johor sebagai ‘Food Basket’ kepada Malaysia dan ‘Food Bank’ untuk negara serantau serta antarabangsa dengan usaha meningkatkan pengeluaran produk agromakanan dan merancakkan aktiviti eksport hasil pertanian ke pasaran global.
Selain itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi tumpuan khusus kepada Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) terutama untuk tanaman nanas, kelapa, durian, pisang serta betik bagi meningkatkan prestasi pengeluaran hasil.
Sebanyak RM18.48 juta juga telah diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk pelbagai inisiatif pembangunan pertanian melibatkan kerjasama dengan agensi utama seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Johor Biotech, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan FarmByte bagi tahun 2025.
Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan lebih RM21 juta kepada negeri ini dalam Belanjawan 2025 melalui KPKM bagi mempergiat usaha dan program berkaitan keterjaminan makanan malah yakin Johor akan menjadi hab pengeluaran agromakanan utama sekali gus meningkatkan pendapatan petani serta pengusaha dalam sektor berkenaan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan bersama YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi membincangkan hala tuju pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan di negeri ini.
#JohorFoodSecurity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor