SEJARAH GEMILANG 100 TAHUN MAINJ MEMBELA UMMAH


Dipengerusikan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, MAINJ telah melaksanakan pelbagai program kebajikan. | Foto ihsan HRH Crown Prince of Johor

 

 

Oleh – Imran Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor

 

 

1. Sebagai umat Islam di Johor, kita bertuah kerana memiliki institusi yang sentiasa komited dalam membangun dan memelihara kesejahteraan ummah. Tahun ini, genap 100 tahun penubuhan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), institusi yang menjadi tunjang dalam pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini.

 

2. Seabad berlalu, MAINJ terus relevan, dinamik dan berdaya saing dalam memastikan syiar Islam terus berkembang seiring kemajuan dikecapi negeri. Ditubuhkan pada 1 Mac 1925, MAINJ berperanan sebagai institusi yang bertanggungjawab menguruskan kegiatan dan urusan berkaitan umat Islam.

 

3. MAINJ berevolusi dari sebuah institusi agama menjadi peneraju inisiatif melibatkan Islam termasuk urusan kutipan dan agihan zakat yang membela kebajikan ummah. Keberkesanan sistem zakat yang diurus secara profesional meletakkan Johor sebagai antara negeri termaju dalam pengurusannya di negara ini.

 

4. Dipengerusikan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, MAINJ telah melaksanakan pelbagai program kebajikan. Antaranya, bantuan bilik guru melibatkan 1,779 sekolah di seluruh Johor. Selain itu, dana zakat juga dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasa Pendidikan Islam.

 

5. Bantuan kepada Sekolah Agama, Pusat Tahfiz dan Institusi Pengajian Tinggi Islam menjadi bukti komitmen membangunkan modal insan berkualiti. Begitu juga amanah untuk membina baharu dan membaik pulih rumah asnaf di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Johor sejak tahun 2024.

 

6. Komitmen dan kepedulian pembayar zakat di negeri ini membolehkan MAINJ terus membantu sekali gus mensejahterakan lebih ramai asnaf. Tidak terbatas dalam Johor sahaja, MAINJ turut membantu saudara seagama di luar negara menerusi pembinaan masjid di Kemboja dan Australia.

 

7. Selain itu, MAINJ menyediakan asrama pelajar Johor di Mesir dan Jordan serta memberikan sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin. Dalam sektor pendidikan pula, institusi ini berperanan penting dalam membangunkan sistem pendidikan Islam di Johor melalui pelbagai peringkat institusi.

 

8. MAINJ juga menyerahkan Skim Bantuan Pendidikan Tahun 2025 berjumlah keseluruhan RM15.4 juta yang terdiri bantuan tunai. Bantuan berupa set pakaian sekolah dijahit oleh asnaf dengan kerjasama Waqaf An-Nur turut disampaikan selain sumbangan kebajikan secara ‘one-off’.

 

9. Sejak penubuhannya, MAINJ telah melahirkan ramai tokoh yang memberi sumbangan besar terhadap perkembangan Islam di peringkat negeri dan antarabangsa. Seperti, Dato’ Pehin Haji Ismail Omar Abdul Aziz (Mufti Brunei); Tan Sri Hassan Yunos (Mufti Johor Kelima) selain Dato’ Abd Rahim Yunos, Syed Alwi Abdullah al-Hadad dan Tan Sri Abd Jalil Hassan, antara pejuang penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

10. Sehingga ke hari ini, MAINJ telah membuktikan keunggulannya dalam urus tadbir hal ehwal agama malah pemangkin kesejahteraan sosioekonomi Islam. Mengorak langkah memastikan syiar Islam terus berkembang, semoga ulang tahun ke-100 dirai menjadi katalis untuk pencapaian lebih gemilang dalam memajukan negeri dan mensejahterakan ummah.

 

#100TahunMAINJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor