JAMBATAN BAILEY HUBUNGKAN SEMULA LEBIH 1,000 PENDUDUK


Jambatan Bailey sedia digunakan kepada orang awam mulai jam 9 pagi esok. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Jambatan Bailey sebagai ganti untuk jambatan asal di Batu 20, Sungai Tiram yang mengalami kerosakan dan runtuh akibat banjir baru-baru ini, telah siap sepenuhnya dengan kerja-kerja terakhir pemasangan palang keselamatan dan papan tanda had muatan sedang dilaksanakan.

 

Struktur sementara jenis Compact Bailey 100 dibina oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan 60 anggota dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula Rabu malam, berjaya disiapkan dalam tempoh 20 jam dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada jam 9 pagi esok.

 

Bagi memastikan keselamatan pengguna, jambatan berkenaan hanya mampu menampung kenderaan seberat lapan tan dengan kawalan lalu lintas akan dikendalikan oleh pihak JKR untuk membolehkan kira-kira 1,000 penduduk di empat kampung yang sebelum ini terputus hubungan menggunakan laluan tersebut.

 

Pembinaan jambatan Bailey itu merupakan hasil tindakan proaktif Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru bagi menghubungkan semula penduduk dari Kampung Orang Asli Pasir Salam, Kampung Sri Perdana, Kampung Bukit Dagang dan Kampung Batu 20 di Mukim Sungai Tiram.

 

Selain itu, infrastruktur yang menjadi penyelesaian sementara bagi membolehkan akses penduduk keluar dan masuk terutama ketika Hari Raya Aidilfitri itu akan disusuli dengan kerja-kerja pembinaan laluan alternatif oleh JKR sebelum jambatan kekal dibina melibatkan anggaran kos berjumlah RM500,000.

 

#JambatanBailey
#JKRJohor
#JPBDJohorBahru
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor