DHL PILIH JOHOR JADI HAB LOGISTIK


YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor hadir ke majlis pelancaran Hab Serantau Selatan DHL Supply Chain di Zon Perindustrian Bebas Senai Airport City. | Foto Lee Ting Han

 

#IskandarPuteri – Syarikat peneraju global dalam sektor logistik dan kurier, DHL Supply Chain melancarkan fasiliti Hab Serantau Wilayah Selatan fasa satu di Zon Perindustrian Bebas Senai Airport City iaitu kemudahan moden seluas 308,000 kaki persegi, sekali gus dapat memanfatkan peluang sektor berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik, penjagaan kesihatan serta automotif di kawasan berkenaan.

 

Menerusi nilai pelaburan keseluruhan berjumlah RM100 juta oleh DHL Supply Chain itu juga akan mencipta kira-kira 200 peluang pekerjaan baharu di hab logistik berkenaan yang turut dibangunkan secara dua fasa, selain turut menjadi kemudahan pertama syarikat logistik itu di kawasan selatan Malaysia.

 

Selain itu, penubuhan Menara Kawalan Serantau DHL di Zon Perindustrian Bebas Senai Airport City juga akan menyokong penyelarasan operasi di Malaysia, Singapura dan Thailand, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pusat logistik strategik dalam rangkaian rantaian bekalan di rantau ASEAN.

 

Penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga diyakini akan memberi dimensi baharu kepada kerjasama ekonomi rentas sempadan serta mempercepatkan proses pelepasan kastam, memperkukuh pembangunan bakat dan merangsang perdagangan serta pelaburan dua hala.

 

Justeru, Kerajaan Johor komited untuk terus menyokong pembangunan serta pelaburan dengan menyediakan infrastruktur mantap, dasar mesra pelabur serta pembangunan bakat tempatan selari dengan hasrat menjadikan negeri ini sebagai pusat logistik serantau dan pintu masuk strategik ke pasaran ASEAN dan global.

 

Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor bersama YBhg Mohd Hafiz Aliman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai menghadiri majlis pelancaran Hab Serantau Selatan DHL Supply Chain di Zon Perindustrian Bebas Senai Airport City, hari ini.

 

#WTN
#DHL
#DHLSupplyChain
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor