BEKALAN AIR KINI PULIH 78 PERATUS

YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor
#IskandarPuteri – Kejadian gangguan bekalan air bersih yang telah menjejaskan 155,074 akaun pengguna di sekitar daerah Johor Bahru kini menunjukkan perkembangan positif apabila status pemulihan bekalan air telah mencapai 78 peratus.
Sehingga jam 3 petang ini, sebanyak 120,926 akaun pengguna atau hampir 78 peratus daripada jumlah penduduk yang terkesan berkaitan isu berkenaan telah berjaya menerima semula bekalan air terawat yang mula diterima secara berperingkat, hari ini.
Kerajaan Johor juga telah bertindak pantas dengan menggerakkan pelbagai inisiatif bagi memastikan gangguan bekalan air yang berlaku akibat kejadian kerosakan pada sistem pam di rumah pam Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor dapat ditangani dengan segera.
Ia melibatkan proses pengeringan, pemeriksaan kerosakan pam, kerja baik pulih serta percubaan operasi semula yang telah dilakukan secara intensif, termasuk menghantar semua pam berkenaan ke kilang khas yang terletak di Senai, Kulai untuk dikering dan diuji semula.
Selain itu, sebanyak 30 lori tangki air juga masih digerakkan ke 20 lokasi terjejas sehingga jam 12 tengah hari tadi, merangkumi premis fasiliti penting seperti hospital dan juga beberapa kawasan lain yang masih belum menerima bekalan air sepenuhnya.
Insiden luar jangka ini berlaku disebabkan salah satu daripada sembilan pam utama di rumah pam LRA Sungai Johor mengalami kerosakan serius, menyebabkan keseluruhan sistem rumah pam berkenaan telah ditenggelami air dan perlu dihentikan operasi sepenuhnya.
Sehingga kini, beberapa zon dilaporkan telah pulih sepenuhnya antaranya ialah Zon Tebrau, Kempas dan Bandar, sementara usaha pemulihan penuh masih diteruskan secara berperingkat melibatkan beberapa zon lain seperti Tiram, Skudai, Bukit Indah dan Iskandar Puteri.
YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor