2,128 CEF BERAKSI DALAM WORLD CHEF CHAMPIONSHIP 2025

YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor hadir serta menyempurnakan perasmian World Chefs Championships 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Seramai 2,128 cef dari dalam dan luar negara berentap dalam World Chefs Championship 2025 anjuran Kerajaan Negeri menerusi Tourism Johor dengan kerjasama Persatuan Juara Juru Masak Malaysia berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor bermula hari ini hingga Ahad.

 

Kejohanan kulinari berprestij dunia memasuki tahun keempat penganjuran itu menjadi platform mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan gastronomi yang unggul di peringkat global dan cef berpengalaman mengetengahkan bakat serta kepakaran masing-masing dalam bidang kulinari.

 

World Chefs Championship 2025 menyaksikan penyertaan peserta tempatan dan antarabangsa dari 18 negara antaranya Singapura, China, Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat, Australia serta India yang bersedia untuk mempamerkan kemahiran seni kulinari menerusi 225 kategori dipertandingkan.

 

Selain itu, kejohanan kali ini telah berjaya memecahkan rekod Guinness World Records untuk Himpunan Tart Terpanjang melibatkan 4,399 tart sekali gus mengatasi pencapaian terdahulu dipegang oleh Hong Kong dan bakal memecahkan satu lagi rekod iaitu Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Masakan Terbanyak.

 

Penganjuran World Chefs Championship 2025 yang turut meraikan kepelbagaian dan kekayaan warisan kulinari dari pelbagai pelusuk dunia serta memperkukuh pertukaran kepakaran itu mampu merancakkan sektor pelancongan Johor terutama menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

Terdahulu, YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor hadir serta menyempurnakan perasmian World Chefs Championships 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini. Turut hadir, YBhg. Encik Mohammad Nazrul Abd. Rahim, Pengarah Tourism Johor.

 

#TourismJohor
#VisitJohor2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor