JOHOR CATAT KDNK 6.4 PERATUS, TERTINGGI DALAM NEGARA

Nilai KDNK Johor mencecah nilai RM158.0 bilion iaitu meningkat berbanding RM148.6 bilion pada tahun 2023 yang mencatat pertumbuhan sebanyak 4.1 peratus. | Foto arkib MDJ, Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri — Johor terus memperkukuh kedudukannya sebagai kuasa ekonomi utama negara apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi pada tahun 2024 iaitu 6.4 peratus, mengatasi purata nasional sebanyak 5.1 peratus.

 

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai KDNK Johor mencecah nilai RM158.0 bilion iaitu meningkat berbanding RM148.6 bilion pada tahun 2023 yang mencatat pertumbuhan sebanyak 4.1 peratus.

 

Prestasi ini turut disokong oleh kedudukan Johor yang strategik di selatan Semenanjung Malaysia, jaringan infrastruktur moden, pelabuhan bertaraf antarabangsa serta kawasan perindustrian yang luas dan kompetitif.

 

Selain itu, antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi ialah pembangunan pesat pusat data yang menggerakkan sektor perkhidmatan untuk berkembang pada kadar 6.0 peratus, termasuk subsektor lain seperti kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan yang turut melonjak sebanyak 8.7 peratus.

 

Sektor pembinaan juga mencatat pertumbuhan luar biasa sebanyak 42.7 peratus berikutan pelaksanaan projek mega seperti pembinaan pencawang kuasa, sistem penyejukan canggih serta rangkaian fiber optik berkapasiti tinggi.

 

Pada masa sama, sektor pembuatan Johor turut meningkat 4.2 peratus yang dipacu oleh pengeluaran produk mineral bukan logam, logam asas, produk logam yang direka, serta produk elektrik, elektronik dan optikal.

 

Sektor pertanian Johor turut menunjukkan kebangkitan positif menerusi pertumbuhan 4.2 peratus didorong peningkatan pengeluaran kelapa sawit, sekali gus kekal sebagai penyumbang terbesar hasil pertanian negara dengan sumbangan 17.3 peratus kepada KDNK pertanian Malaysia.

 

Prestasi cemerlang Johor pada tahun 2024 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dan bersedia mendepani cabaran ekonomi global dengan keyakinan serta daya saing tinggi.

 

#KDNK
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor