HAMPIR 3,000 PESERTA MERIAHKAN LARIAN MAPPA XX WILAYAH SELATAN

Acara penutup siri Larian MAPPA 2025 ini bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya menjadi antara wadah dalam usaha memperkukuhkan perpaduan, membudayakan gaya hidup sihat selain menceriakan suasana malam di bandar raya Johor Bahru. | Foto FB Jabatan Perkhidmatan Awam
#IskandarPuteri – Hampir 3,000 peserta membanjiri Dataran Bandaraya Johor Bahru bagi menjayakan program Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-20 Wilayah Selatan Tahun 2025 yang julung kali dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Institut Tadbiran Awam Negara
(INTAN) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS).
Acara penutup siri Larian MAPPA 2025 ini bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya menjadi antara wadah dalam usaha memperkukuhkan perpaduan, membudayakan gaya hidup sihat selain menceriakan suasana malam di bandar raya Johor Bahru.
Turut sama memeriahkan penganjuran kali ini ialah penyertaan khas daripada 55 peserta orang kurang upaya (OKU), selain pelbagai acara sampingan termasuk pertandingan seni kreatif, persembahan budaya tempatan dan pameran agensi kerajaan serta swasta.
Selain itu, inisiatif membudayakan gaya hidup sihat ini juga diyakini mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat, menyumbang kepada produktiviti dan keberkesanan dalam penyampaian perkhidmatan awam yang lebih mampan.
Terdahulu, majlis pelepasan larian MAPPA 2025 telah disempurnakan oleh YBhg Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, dengan dua kategori utama mewarnai program iaitu 5 kilometer Fun Run dan 1.5 kilometer Fun Walk.
Hadir sama ialah YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; YB Dato’ Haji Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan) dan YBhg Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru.
#LarianMAPPAXX
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor