JOHOR TIDAK KOMPROMI PEMBURUAN HARAM HARIMAU BELANG

Kerajaan Johor tegas membanteras pemburuan haram demi melindungi kelestarian Harimau Belang, khazanah negara yang tidak ternilai. | Foto FB AH SOON

 

#JohorBahru – Kerajaan Johor tidak kompromi terhadap sebarang aktiviti pemburuan haram yang mengancam kelestarian spesies Harimau Belang (Panthera Tigris Jacksoni), khazanah negara amat bernilai dan dilindungi sepenuhnya.

 

Usaha penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan risikan dan pemantauan di kawasan berisiko akan diperkukuhkan untuk membanteras pemburuan serta perdagangan hidupan liar, jelas YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor.

 

Kerajaan Negeri menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi melaporkan sebarang maklumat berkaitan pemburuan haram untuk memastikan kelestarian biodiversiti negara terus terpelihara.

 

Terdahulu, tiga lelaki berusia 28 hingga 49 tahun ditahan selepas bangkai Harimau Belang ditemui dalam sebuah kereta di Mersing, baru-baru ini, dan siasatan mendapati terdapat kesan kecederaan akibat jerat dan enam kesan tembakan di kepala haiwan terbabit yang dikenal pasti sebagai punca kematian.

 

Antara barangan kes yang dirampas termasuk bangkai harimau, sebuah kereta dan empat telefon bimbit bernilai rampasan dianggarkan berjumlah RM294,007 dengan kesemua suspek kini direman mengikut Seksyen 70(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar betina yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.

 

Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa yang terlibat atas tindakan pantas melaksanakan Operasi Khazanah Bersepadu membawa kepada kejayaan membanteras pemburuan haram tersebut.

 

#JohorSafeZone
#HarimauBelang
#PemburuanHaram
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor