SUSUR BAHARU TAMAN PULAI INDAH KE TAMAN PULAI EMAS DIBUKA 13 MEI

Pembukaan jalan susur tersebut dijangka membantu menyuraikan lebih awal aliran kenderaan ringan khususnya pengguna yang menuju ke kawasan perumahan sekitar. | Foto FB Fazli Salleh.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus mempercepat pelaksanaan pelan intervensi trafik di kawasan Taman Pulai Indah menerusi pembukaan jalan susur baharu menuju ke Taman Pulai Emas yang dijangka mula dibuka kepada pengguna pada 13 Mei ini.
Pembukaan laluan tersebut dijangka membantu menyuraikan lebih awal aliran kenderaan ringan khususnya pengguna yang menuju ke kawasan perumahan sekitar, sekali gus mengurangkan kesesakan di laluan utama Taman Pulai Indah terutama pada waktu puncak.
Jalan susur baharu itu telah siap dibina sepenuhnya pada 11 Mei lalu sebagai sebahagian daripada langkah segera Kerajaan Negeri dalam menangani isu kesesakan trafik yang berlaku di kawasan berkenaan.
Selain itu, kerja pelebaran jalan susur dari lebuh raya di persimpangan Taman Pulai Jaya yang siap pada 1 Mei lalu turut membantu mempertingkat kapasiti aliran trafik dan kini telah boleh digunakan sepenuhnya oleh pengguna jalan raya.
Dalam masa sama, empat set lampu isyarat di sepanjang Jalan Taman Pulai Indah telah dinaik taraf kepada sistem Smart AI yang lebih responsif terhadap situasi trafik semasa, manakala baki dua lagi persimpangan sedang dalam proses naik taraf dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.
Pelaksanaan intervensi bersepadu ini dilaksanakan bersama pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan setiap tindakan yang diambil mampu memberi impak segera kepada keselesaan penduduk serta pengguna jalan raya di kawasan sekitar.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor mengadakan lawatan ke Taman Pulai Indah bagi meninjau perkembangan semasa kerja intervensi tersebut, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#TamanPulaiIndah
#TamanPulaiEmas
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



