FOKUS SELESAI ISU RAKYAT SECARA TUNTAS DAN SEGERA

YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor meneruskan Lawatan Kerja Ke Daerah-Daerah untuk hari kedua di Laman Hutan Rekreasi Gunung Lambak, Kluang. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Kluang – Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai inisiatif secara bersepadu bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat di daerah Kluang secara tuntas dan segera seperti isu konflik hidupan liar, banjir dan hakisan tanah.

 

Antara inisiatif berkenaan adalah projek baik pulih parit gajah serta pemasangan lampu solar dan pagar elektrik melibatkan peruntukan RM500,000 selain mewujudkan cadangan bank makanan seluas 100 hektar di Sungai Tawing, Paloh bagi mengatasi konflik gangguan haiwan liar terutamanya di landasan keretapi berkembar.

 

Sebagai langkah jangka panjang juga, projek laluan lintasan hidupan liar pertama atau Central Forest Spine di Johor juga bakal dibina di Jalan Persekutuan FT50 menghubungkan Kahang, Kluang ke Mersing bernilai RM66 juta yang dijangka siap pada Februari 2028.

 

Selain itu, cadangan tiga projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dikenal pasti iaitu RTB Sungai Mengkibol bernilai RM435 juta, RTB Sungai Melantai (RM283.62 juta) dan RTB Sungai Parit Haji Hashim, Ulu Benut (RM148.13 juta) telah dikemukakan ke dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di samping 138 projek ‘quick win’ untuk mengurangkan risiko banjir termasuklah di kawasan hotspot yang melibatkan peruntukan lebih RM10 juta.

 

Manakala, isu tebing runtuh dan hakisan di Parit Haji Hashim turut diberikan perhatian yang mana kerja-kerja baik pulih dalam pelaksanaan oleh pihak Safwa Global Ventures dan dijangka dapat disiapkan sebelum musim Monsun Timur Laut (MTL) sekiranya tiada sebarang isu timbul di tapak.

 

Inisiatif yang dilakukan ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri bersama pentadbiran daerah bagi memastikan lebih 350,000 penduduk di daerah Kluang menikmati pembangunan seimbang dan lestari selari dengan pengiktirafan sebagai Daerah Paling Bahagia Tahun 2024.

 

Terdahulu, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor meneruskan Lawatan Kerja Ke Daerah-Daerah untuk hari kedua di Laman Hutan Rekreasi Gunung Lambak, Kluang. Hadir sama, YBhg. Puan Hajah Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang serta barisan Pegawai Tadbir Negeri Johor di daerah Kluang.

 

#JohorSafeZone
#LawatanKerjaSUKJ
#TadbirUrusKerajaan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor