KETUA KAMPUNG, KETUA MASYARAKAT LEGA TERIMA KENAIKAN ELAUN

Kerajaan Johor menaikkan elaun bulanan Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebagai tanda penghargaan terhadap peranan mereka di peringkat akar umbi. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Kerajaan Negeri Johor terus menghargai jasa dan peranan Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat di peringkat akar umbi dengan menaikkan elaun bulanan sebanyak RM300 iaitu dari RM1,200 kepada RM1,500 sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2026, Khamis lalu.

 

Menerusi inisiatif di bawah Teras 1: Tadbir Urus Kerajaan ini juga turut memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta bagi pelaksanaan kenaikan elaun tersebut, sekali gus memanfaatkan seramai 667 Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat di seluruh Johor. Ia secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka dalam menjalankan khidmat terbaik kepada masyarakat setempat.

 

Menurut Rahizam Rahmat, Ketua Kampung Melayu Gelang Patah, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor yang disifatkan sentiasa mengambil berat kebajikan pemimpin akar umbi dan memastikan mereka terus menerima sokongan yang sewajarnya.

 

Beliau turut menyifatkan kenaikan elaun ini sebagai satu suntikan semangat kepada golongan Ketua Kampung untuk terus berkhidmat dengan lebih berkesan, memastikan kesejahteraan penduduk setempat serta melancarkan pelaksanaan pelbagai tugasan di peringkat komuniti kelak.

 

Sementara itu, Abdul Halim Abdullah, Ketua Kampung Melayu Lima Kedai turut menzahirkan rasa syukur atas pengumuman tersebut yang disifatkannya amat bermakna, bukan sahaja membantu meringankan beban Ketua Kampung, tetapi juga meningkatkan motivasi mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kepentingan masyarakat setempat.

 

#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor