TIADA LAGI UNSUR KHURAFAT DALAM PERSEMBAHAN KUDA KEPANG

SS YB Dato’ Haji Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor; YBhg. Tuan Mohd Farid Kassim, Pegawai Daerah Batu Pahat dan SS YB Dato’ Haji Ahmad Faisal Mohamed, Timbalan Mufti Negeri Johor hadir ke Town Hall Kuda Kepang Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#BatuPahat – Persembahan Kuda Kepang yang amat sinonim dengan masyarakat Jawa di Johor kini diperkukuhkan semula dengan pelancaran Buku Garis Panduan Persembahan Kuda Kepang Johor, sekali gus berupaya mengekang sebarang kewujudan unsur khurafat yang dipercayai sering berlaku dalam sesetengah persembahan membabitkan seni budaya berkenaan.
Garis panduan berkenaan yang disusun selepas kajian hampir dua tahun oleh Jabatan Mufti Johor bersama penyelidik daripada Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), sebelum hasil kajian bekenaan kemudiannya dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor untuk diperhalusi.
Inisiatif Kerajaan Johor itu diambil bagi membendung sebarang bentuk amalan yang bertentangan dengan syariat Islam seperti unsur menyeru makhluk halus, penyediaan ‘sajen’ atau sajian tertentu serta ritual yang boleh membawa kepada keadaan kerasukan seseorang individu sehingga menyebabkannya menjadi mabuk atau khayal.
Walaupun permainan Kuda Kepang sudah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor sejak tahun 2009 dan kemudiannya diperkukuh lagi pada 2024, namun garis panduan baharu ini diwujudkan untuk memastikan warisan masyarakat Jawa itu tidak pupus tetapi ia perlu dipersembahkan tanpa mengandungi sebarang unsur khurafat yang bertentangan dengan hukum syarak.
Masyarakat terutama yang beragama Islam diseru agar menjauhi sebarang penglibatan dalam permainan Kuda Kepang yang mengandungi unsur khurafat, sama ada dalam bentuk penganjuran, pengamalan, tontonan, sokongan atau penyebaran melalui media cetak mahupun media elektronik.
Kerajaan Negeri menegaskan bahawa tindakan undang-undang tetap akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar garis panduan ini atau meneruskan penganjuran aktiviti Kuda Kepang secara ‘haram’ selaras dengan peruntukan yang terkandung di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.
Terdahulu, SS YB Dato’ Haji Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor; YBhg. Tuan Mohd Farid Kassim, Pegawai Daerah Batu Pahat dan SS YB Dato’ Haji Ahmad Faisal Mohamed, Timbalan Mufti Negeri Johor hadir ke Town Hall Kuda Kepang Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, hari ini.
#JohorSafeZone
#KudaKepang
#GarisPanduan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


