JOHOR KUKUH HUBUNGAN STRATEGIK DENGAN UNIVERSITI AL-AZHAR

Delegasi Kerajaan Johor yang diketuai YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor mengadakan kunjungan hormat ke Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor bakal menganjurkan Hari Antarabangsa Al-Azhar peringkat kebangsaan pada tahun ini, menerusi Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) sebagai komitmen memperkukuh hubungan strategik bersama Universiti Al-Azhar, Mesir.
Komitmen berkenaan turut diperkasa dengan beberapa cadangan strategik yang dikemukakan antaranya mengembalikan pengiktirafan program 3+2 bagi memastikan laluan akademik lebih tersusun dan berkualiti kepada pelajar Johor.
Johor turut memohon agar pihak Universiti Al-Azhar menghantar seorang pensyarah dalam bidang akidah, perbandingan agama dan tasawuf ke KUIJSI sebagai simbol pemindahan ilmu serta pengukuhan jaringan akademik.
Dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Arab, Johor turut memohon kuota khas kepada pelajar Johor di Maahad Buuth, Al-Azhar bagi membolehkan latihan dijalankan secara lebih berkesan.
Selain itu, pertemuan strategik bersama Universiti Al-Azhar turut dihasratkan untuk diadakan setiap dua tahun sekali khususnya bagi membincangkan aspek berkaitan pembangunan wakaf, zakat dan baitulmal.
Kesemua usaha ini untuk memartabatkan legasi keilmuan Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah serta menghargai peranan penting Universiti Al-Azhar setelah ribuan anak Johor melanjutkan pengajian ke institusi berkenaan.
Untuk rekod, terdapat ramai anak Johor yang merupakan graduan Universiti Al-Azhar telah menjadi pemimpin masyarakat, pentadbir agama, pendidik dan tokoh ilmuwan menyumbang secara langsung kepada pembangunan serta pemerkasaan institusi Islam di negeri ini.
Terdahulu, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor mengadakan kunjungan hormat ke Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir, baru-baru ini. Turut hadir, YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan, Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ); YBhg. Tuan Haji Nasri Md. Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ); YBhg. Tuan Haji Mohd Radzi Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ; YB Dato’ Haji Mustaffa Kamal Haji Shamsudin, Pengarah Urusan KUIJSI serta YBrs. Prof. Madya Dr. Hussin Salamon, Rektor KUIJSI.
#JohorSafeZone
#UniversitiAlAzhar
#Mesir
#MAINJ
#JAINJ
#KUIJSI
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



