LARKIN SENTRAL DIPERKASA SEBAGAI NADI PENGANGKUTAN SELATAN TANAH AIR

Kemudahan kios layan diri turut diperkenalkan sebagai kaedah alternatif yang pantas dan mudah melalui konsep sentuhan skrin bagi pemilihan destinasi serta waktu perjalanan dengan cara pembayaran secara terus. | Foto FB Fazli Salleh

 

#IskandarPuteri – Larkin Sentral terus diperkasakan sebagai nadi pengangkutan utama di selatan tanah air menerusi penyediaan tiga kaedah pembelian tiket yang lebih tersusun, lancar dan mesra pengguna.

 

Pendekatan bersepadu ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri memastikan aspek keselesaan, kecekapan dan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan agar setiap perjalanan rakyat bermula dengan lebih yakin, teratur dan selesa.

 

Pembelian tiket secara kaunter membolehkan pengguna berurusan secara bersemuka bagi mendapatkan maklumat perjalanan dan membuat pilihan tiket di samping perkhidmatan tempahan secara dalam talian yang memudahkan perancangan awal, menjimatkan masa serta mengurangkan keperluan beratur.

 

Selain itu, kemudahan kios layan diri turut diperkenalkan sebagai kaedah alternatif yang pantas dan mudah melalui konsep sentuhan skrin bagi pemilihan destinasi serta waktu perjalanan dengan cara pembayaran secara terus.

 

Bagi keselesaan penumpang, kemudahan sokongan di Larkin Sentral turut dipertingkatkan merangkumi surau, tandas, kedai runcit, medan selera dan ruang menunggu yang lebih praktikal serta selesa untuk semua lapisan pengguna.

 

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) melaksanakan kerja naik taraf terminal pengangkutan awam bersepadu ini melibatkan pembaikan pagar, bumbung kawasan menurunkan penumpang dan laluan keluar masuk bas bagi meningkatkan tahap keselamatan serta kelancaran operasi.

 

Projek bernilai RM2.5 juta ini berjaya disiapkan mengikut jadual pada September tahun lalu sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memastikan kemudahan awam di Johor sentiasa berada dalam keadaan selamat, selesa dan kondusif untuk pengguna terutama sempena Tahun Melawat Johor 2026.

 

#JohorSafeZone
#LarkinSentral
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor