JOHOR UMUM LAPAN INISIATIF PERKASA WARGA FELDA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama lebih 1,200 Ketua Blok FELDA serta kepimpinan pengurusan FELDA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperkukuh kebajikan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi pengumuman lapan inisiatif baharu yang melibatkan pelbagai bentuk bantuan kepada 73 tanah rancangan FELDA di negeri ini.

 

Menjadi negeri yang meletakkan FELDA sebagai ‘anak emas’, Kerajaan Johor mengumumkan Geran Aidilfitri berjumlah RM365,000 atau RM5,000 kepada setiap FELDA bagi tujuan menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri di peringkat komuniti berkenaan.

 

Kerajaan Negeri juga turut menyalurkan RM730,000 atau RM10,000 kepada setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) serta RM365,000 atau RM5,000 kepada setiap Gerakan Persatuan Wanita (GPW) di semua rancangan FELDA di negeri ini.

 

Selain itu, sumbangan bakul makanan juga diberikan kepada setiap ketua isi rumah di rancangan FELDA termasuk 1,071 kakitangan FELDA sebagai usaha untuk membantu meringankan kos sara hidup masyarakat di kawasan berkenaan.

 

Turut disalurkan ialah geran khas berjumlah RM547,500 kepada 73 Pejabat Rancangan FELDA serta geran RM200,000 kepada Sekretariat Muafakat FELDA Johor bagi memperkukuh penyelarasan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

 

Pada masa sama, kuota khas haji kepada 10 warga FELDA serta pinjaman pendidikan tanpa faedah Yayasan Pelajar Johor (YPJ) kepada 50 anak FELDA turut diteruskan bagi memperluas peluang ibadah dan pendidikan generasi muda.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama lebih 1,200 Ketua Blok FELDA serta kepimpinan pengurusan FELDA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, pada Sabtu.

 

#JohorSafeZone
#SegalanyaFELDA
#GenerasiFELDAJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor