INISIATIF ‘DECANTING’ DIPERLUAS KE KLINIK KESIHATAN KULAI

Unit berkenaan akan dipindahkan ke premis baharu yang terletak di pasar raya Lotus’s Kulai sebagai satu pendekatan inovatif pertama seumpamanya bagi fasiliti kesihatan kerajaan yang beroperasi di dalam pusat membeli-belah. | Foto FB Ah Soon
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan apabila memperluas inisiatif ‘decanting’ di Klinik Kesihatan (KK) Kulai yang akan melibatkan pemindahan Unit Ibu dan Anak ke lokasi baharu yang lebih selesa dan kondusif.
Pendekatan ini merupakan kesinambungan pelaksanaan inisiatif sama di KK Sultan Ismail dan KK Gelang Patah pada penghujung tahun 2025 yang terbukti berjaya mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselesaan pesakit.
Susulan kejayaan tersebut, Kerajaan Johor bersetuju untuk melaksanakan pendekatan sama di Klinik Kesihatan Kulai yang turut berdepan dengan isu kesesakan, khususnya melibatkan perkhidmatan ibu dan anak.
Unit berkenaan akan dipindahkan ke premis baharu yang terletak di pasar raya Lotus’s Kulai sebagai satu pendekatan inovatif pertama seumpamanya bagi fasiliti kesihatan kerajaan yang beroperasi di dalam pusat membeli-belah.
Kerajaan Johor memperuntukkan RM1.19 juta yang merangkumi kos sewaan premis selama tiga tahun, kerja-kerja pengubahsuaian serta pembelian peralatan baharu bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat akses kepada kemudahan kesihatan yang lebih berkualiti dan mesra pengguna.
Inisiatif terbaharu ini dijangka mula beroperasi pada Julai ini, sekali gus menterjemah komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memastikan sistem kesihatan negeri terus diperkasa secara cekap, tersusun dan berimpak tinggi kepada kesejahteraan Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#PerkhidmatanBerkualiti
#KlinikKesihatanKulai
#UnitIbudanAnak
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


