PIALA JOHOR JUNIOR CUNGKIL BAKAT PEMAIN MUDA JOHOR

Piala Johor Junior 2026 anjuran bersama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).

 

#IskandarPuteri – Piala Johor Junior (JJC) 2026 anjuran bersama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) menjadi satu penanda aras profesionalisme dalam pembangunan akar umbi bola sepak di Negeri Johor.

 

Bukan sekadar sebuah kejohanan, JJC berperanan sebagai platform pembangunan bola sepak akar umbi bertujuan mencungkil bakat pemain kelahiran Johor untuk diserap ke akademi dan kelab profesional serta menyediakan laluan sistematik dan persediaan kompetitif bagi membolehkan pemain bersaing di tahap kebangsaan dan antarabangsa.

 

Kejohanan berskala besar pertama yang dianjurkan oleh JDT dan PBNJ ini dijadualkan berlangsung bermula dari Februari hingga November 2026, menyaksikan penyertaan 79 pasukan Bawah 11 Tahun dan 61 pasukan Bawah 9 Tahun yang akan bertanding dalam tiga zon pertandingan yang merangkumi kesemua 10 daerah sebelum diklasifikasikan kepada tiga divisyen berdasarkan kedudukan.

 

Kerjasama strategik antara pentadbiran bola sepak negeri dan kelab profesional ini bertujuan membina model pembangunan bersepadu dari akar umbi hingga elit, sekali gus mengukuhkan bakat muda dan memastikan kesinambungan laluan kerjaya pemain di Johor melalui pendekatan komprehensif.

 

Selaras dengan visi pembangunan bola sepak yang lebih berstruktur, JJC bakal menjadi medan terbaik dalam melahirkan bintang bola sepak masa depan Johor.

 

#JohorSafeZone
#JohorJuniorCup
#JJC2026
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor