KERAJAAN JOHOR MAHU LONJAK KUIJSI SEBAGAI PEMANGKIN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN ISLAM NEGERI

Kerajaan Johor memperkukuh KUIJSI sebagai institusi pendidikan Islam yang berdaya saing untuk pembangunan modal insan Islam di negeri ini. | Foto arkib MDJ 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh usaha melonjakkan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) sebagai sebuah institusi pendidikan Islam yang berdaya saing dan relevan, selari dengan aspirasi memperkasa pembangunan modal insan Islam di Negeri Johor.

 

Usaha berterusan ini memberi penekanan terhadap pengukuhan tadbir urus, tatakelola dan pengurusan strategik agar setiap perancangan serta pelaksanaan KUIJSI dapat berjalan secara tersusun, berkesan dan memberi impak positif kepada institusi serta masyarakat.

 

Perhatian turut diberikan terhadap penambahbaikan kemudahan di Kolej Kediaman KUIJSI sebagai sebahagian daripada usaha bagi memastikan prasarana penginapan pelajar berada pada tahap selesa dan kondusif, sekali gus menyokong persekitaran pembelajaran berkualiti serta kesejahteraan warga pelajar secara menyeluruh.

 

Sementara itu, Marsah Sdn. Bhd juga akan terus menjadikan KUIJSI sebagai fokus utama dalam memastikan institusi itu mampu berkembang secara mampan, berdaya saing dan berupaya memainkan peranan signifikan dalam pembangunan modal insan berteraskan pendidikan Islam di Negeri Johor.

 

Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Marsah Sdn. Bhd. di Pusat Islam Iskandar Johor, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#KUIJSI
#PendidikanIslamJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor