JOHOR PERKUKUH KEUPAYAAN PEGAWAI TADBIR MELALUI PROGRAM LUAR NEGARA

Seramai 27 pegawai PTNJ dan penjawat awam Johor menyertai Program Luar Negara 2026 bagi memperkukuh kepimpinan dan daya saing global. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Seramai 27 peserta terdiri daripada Pegawai Tadbir Negeri Johor (PTNJ) dan penjawat awam Negeri Johor telah menyertai Program Luar Negara 2026 sebagai sebahagian daripada usaha strategik Kerajaan Negeri dalam memperkukuh keupayaan kepimpinan serta meningkatkan daya saing di peringkat global.
Program anjuran Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor ini turut mendapat sokongan dan penajaan daripada agensi strategik seperti Permodalan Darul Ta’zim (PDT), Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor serta Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS).
Inisiatif ini bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh kepada pegawai tadbir mengenai amalan sebenar tadbir urus di peringkat antarabangsa, di samping memperluas jaringan kerjasama global serta memperkukuh pemahaman terhadap amalan terbaik dalam pentadbiran kerajaan.
Selain itu, program ini turut menekankan elemen penyelidikan dan inovasi dalam perkhidmatan awam, sekali gus melahirkan pegawai yang lebih kompeten dan berdaya saing. Usaha ini merupakan pelaburan strategik jangka panjang dalam memperkasa sistem tadbir urus Negeri Johor.
Antara program yang ditawarkan termasuk Executing Sustainability Strategies di Imperial College London (27 April hingga 1 Mei 2026); Leadership in Emerging Technology: Security, Strategy and Risk di Harvard University (3 hingga 8 Mei 2026); serta Strategic Decision Making for Leaders Programme di INSEAD, Fontainebleau, Perancis (1 hingga 4 Jun 2026).
Turut disenaraikan ialah Oxford Programme for Negotiation di University of Oxford (7 hingga 11 Jun 2026); Cities Governance, Planning and Design di London School of Economics (8 hingga 12 Jun 2026); Leadership in a Technology Driven World di Imperial College London (29 Jun hingga 3 Julai 2026); serta program kerjasama strategik bersama Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) yang dijangka berlangsung pada Oktober ini.
Sebelum ini, seramai empat pegawai PTNJ telah menyertai program Education and Technology AI – MIT Management di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat dari 2 hingga 6 Februari lalu.
Terdahulu, YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor, telah hadir ke Majlis Global Minds, Johor Excellence: Amanat Setiausaha Kerajaan Johor bersama Peserta Program Luar Negara PTNJ yang berlangsung di Fraser Place Puteri Harbour, Iskandar Puteri, hari ini.
Majlis turut menyaksikan sesi pertukaran nota kerjasama antara Pusat Kepimpinan dan Kompetensi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor dalam usaha memperkukuh kolaborasi strategik pembangunan kepimpinan serta kompetensi penjawat awam negeri.
#JohorSafeZone
#PegawaiTadbirNegeriJohor
#ProgramLuarNegara
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



