KERAJAAN JOHOR SALUR RM7.3 JUTA, PACU 56 PROJEK PEMBANGUNAN DI TANGKAK

Pelaksanaan inisiatif ini diselaraskan secara bersepadu melibatkan Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi pelaksana bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan sebelum ini dapat ditangani dengan lebih cepat, tersusun dan efektif. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM7.3 juta bagi melaksanakan 56 projek pembangunan dan naik taraf di daerah Tangkak menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD), sekali gus memperkukuh usaha menangani keperluan rakyat di daerah berkenaan secara menyeluruh dan berkesan.

 

Peruntukan ini memberi tumpuan kepada projek berimpak tinggi melibatkan kerja baik pulih infrastruktur, penyelenggaraan kemudahan awam, penambahbaikan sistem perparitan serta peningkatan aspek keselamatan jalan raya demi keselesaan Bangsa Johor.

 

Pelaksanaan inisiatif ini diselaraskan secara bersepadu melibatkan Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi pelaksana bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan sebelum ini dapat ditangani dengan lebih cepat, tersusun dan efektif.

 

MTD Tangkak yang melibatkan empat kawasan Dewan Negeri Johor (DUN) iaitu Tangkak, Serom, Gambir dan Bukit Kepong telah membincangkan sebanyak 403 isu serta perkara berbangkit di daerah ini.

 

Daripada jumlah tersebut, 67 isu telah berjaya diselesaikan manakala 26 lagi sedang dalam tindakan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian. Selebihnya melibatkan permohonan baharu serta isu yang sedang melalui proses siasatan dan tindakan lanjut.

 

Keseluruhan anggaran kos bagi semua isu yang dikenal pasti mencecah RM29.3 juta, sekali gus menggambarkan keperluan pembangunan yang akan terus diperkasa di daerah ini.

 

Seiring itu, Kerajaan Johor juga turut meluluskan 25 projek keutamaan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM2.5 juta yang akan memfokuskan kepada infrastruktur kritikal, kemudahan awam serta keselamatan komuniti setempat.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor mempengerusikan mesyuarat MTD Tangkak di Pejabat Daerah Tangkak, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#MTDTangkak
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor