JOHOR DAHULUI LANGKAH INTERVENSI KOS SARA HIDUP RAKYAT

Johor menjadi antara negeri terawal melaksanakan pelbagai langkah intervensi kos sara hidup bagi membantu rakyat berdepan tekanan ekonomi global dan impak konflik geopolitik, antaranya melalui inisiatif Jualan Kasih Johor, Bantuan Kasih Johor (BKJ), Bas Muafakat Johor, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Projek Rintis Medan Selera Kampung Melayu Majidee serta Baucar Kasih Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Johor menjadi negeri terawal yang melaksanakan pelbagai langkah intervensi kos sara hidup bagi membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi global termasuk impak daripada konflik ketegangan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada peningkatan harga barangan dan kos operasi semasa.
Antara pendekatan yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri termasuk pelaksanaan Jualan Kasih Johor, Bantuan Kasih Johor (BKJ), Bas Muafakat Johor, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Projek Rintis Medan Selera Kampung Melayu Majidee serta Baucar Kasih Johor.
Bagi tahun 2026, peruntukan Jualan Kasih Johor turut ditingkatkan daripada RM15.4 juta kepada RM45.4 juta dalam usaha memperluaskan akses rakyat kepada barangan keperluan asas pada harga lebih mampu milik di seluruh negeri ini.
Kerajaan Johor juga telah melaksanakan pendekatan intervensi di peringkat sumber atau peniaga menerusi Projek Rintis Medan Selera Kampung Melayu Majidee dengan memberi tumpuan kepada pengurangan kos operasi dan sewaan peniaga supaya kadar harga makanan dapat dikawal secara lebih mampan.
Menerusi projek rintis itu, Baucar Kasih Johor akan disalurkan kepada penduduk setempat bagi membolehkan mereka mendapatkan baramhan makanan berkualiti pada harga yang lebih berpatutan, sekali gus mewujudkan ekosistem sokongan yang memberi manfaat kepada rakyat dan peniaga.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkukuh kerjasama bersama agensi Persekutuan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam aspek penguatkuasaan serta pemantauan subsidi bahan api bagi memastikan bantuan yang disalurkan akan diterima oleh golongan sasaran tulen yang berkelayakan.
Pendekatan ini selari dengan usaha Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh pelbagai inisiatif bagi menangani tekanan kos sara hidup susulan gangguan rantaian bekalan global serta peningkatan harga tenaga dunia akibat konflik geopolitik semasa.
Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menjawab soalan dibangkitkan berhubung langkah menangani kos sara hidup susulan ketidaktentuan geopolitik pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#KosSaraHidup
#BantuanKasihJohor
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



