PRN JOHOR 2026: MESYUARAT KHAS SPR 12 JUN INI

Kenyataan media Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
#IskandarPuteri – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16 pada 12 Jun ini bagi menetapkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan pilihan raya negeri berkenaan.
Mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Sri Ramlan Dato’ Harun, Pengerusi SPR, itu dijadual membincangkan beberapa perkara utama termasuk tarikh pengeluaran writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.
Mesyuarat tersebut akan turut melibatkan perbincangan mengenai daftar pemilih yang akan digunakan serta pelbagai persiapan lain bagi memastikan proses pilihan raya berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
SPR telah menerima notis rasmi daripada YB Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, Speaker Dewan Negeri Johor, berhubung pembubaran Dewan Negeri Johor ke-15 pada 2 Jun lalu, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal 23(2) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Justeru, berdasarkan Fasal 23(4) Bahagian Kedua undang-undang yang sama, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Negeri. Sejurus Mesyuarat Khas SPR selesai, satu sidang media akan diadakan bagi mengumumkan ketetapan rasmi berhubung perjalanan PRU DN Johor Ke-16.
Dalam perkembangan berkaitan, SPR turut memaklumkan urusan permohonan undi pos bagi PRU DN Johor Ke-16 telah dibuka mulai hari ini melibatkan semua kategori pemilih yang layak.
Permohonan tersebut merangkumi Kategori 1A melibatkan anggota polis, anggota tentera, petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR serta petugas media, selain Kategori 1B bagi warganegara Malaysia yang menetap di luar negara dan Kategori 1C yang melibatkan agensi atau organisasi.
Semua permohonan undi pos perlu dibuat secara dalam talian melalui sistem MySPR, manakala tarikh tutup permohonan akan diumumkan oleh SPR pada masa akan datang.
Dewan Negeri Johor ke-15 dibubarkan pada 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, sekali gus membuka laluan kepada PRU DN Johor Ke-16 bagi membolehkan rakyat memilih Kerajaan Negeri yang baharu untuk mentadbir Johor bagi penggal akan datang.
#JohorSafeZone
#PRUDNJohor2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


