MB SEDIA NAIK KTM KOMUTER, TUNGGU JEMPUTAN RASMI MOT

Kenyataan balas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
#IskandarPuteri — Kerajaan Negeri menyambut baik jemputan untuk menghadiri program pelaksanaan projek KTM Komuter yang dijadual berlangsung pada Selasa ini dengan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menyatakan kesediaan untuk melapangkan jadual bagi menghadiri program berkenaan demi kepentingan Bangsa Johor.
Bagaimanapun, sehingga kini pejabat beliau masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi serta butiran program daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung majlis tersebut.
Jelasnya, pelaksanaan projek KTM Komuter adalah demi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam untuk rakyat dan tidak seharusnya dilihat sebagai sebahagian daripada kerjasama politik, sebaliknya ia adalah usaha bersama yang boleh memberi manfaat besar kepada Bangsa Johor.
Menurut beliau, urusan rasmi kerajaan dan kerjasama politik merupakan dua perkara yang berbeza, justeru tidak timbul sebarang masalah untuk Kerajaan Johor memberikan sokongan terhadap inisiatif yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam memastikan pelaksanaan KTM Komuter berjalan lancar, Kerajaan Johor turut menyalurkan bantuan sebanyak RM700,000 bagi kerja-kerja mencantikkan dan membalut tren yang akan digunakan untuk perkhidmatan tersebut.
Selain itu, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) turut bersetuju menyediakan perkhidmatan bas pengantara di stesen-stesen terlibat termasuk perkhidmatan shuttle dengan kos operasi sekitar RM86,000, di samping menyelaras laluan Bas Muafakat Johor bagi melengkapkan rangkaian pengangkutan awam sedia ada.
Kerajaan Negeri juga menaja kemudahan tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 bagi meningkatkan keselesaan pengguna, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan yang akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Johor bukan sekadar menerima projek pembangunan, malah turut memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberi impak terbaik kepada Bangsa Johor menerusi kerjasama semua pihak.
#JohorSafeZone
#KTMSelatan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


