KERAJAAN NEGERI MULAKAN PERSEDIAAN BELANJAWAN JOHOR 2027

Setiap cadangan peruntukan akan diteliti berdasarkan manfaatnya kepada rakyat, kejelasan pelaksanaan dan tempoh masa yang ditetapkan supaya perbelanjaan kerajaan dapat menghasilkan impak yang nyata dan berkesan. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor memulakan persediaan Belanjawan Johor 2027 menerusi Sesi Pramajlis Belanjawan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang menghimpunkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Timbalan EXCO serta pegawai-pegawai berkaitan.
Sesi selama empat jam itu menjadi antara ruang terbaik untuk memperhalusi cadangan, menyusun keutamaan dan memperkukuh penyelarasan sebelum perkara berkenaan dibentangkan kepada YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Perbincangan terbabit tidak hanya tertumpu kepada angka, projek dan permohonan peruntukan, sebaliknya turut mengambil kira keperluan sebenar rakyat, isu berbangkit yang masih belum diselesaikan serta penambahbaikan yang perlu dilaksanakan pada tahun hadapan.
Kerjasama antara portfolio EXCO turut diberi perhatian bagi memastikan setiap perancangan dapat digerakkan secara bersepadu dengan perkongsian maklumat dan tindakan yang lebih tersusun tanpa bekerja secara berasingan.
Pendekatan 3T1M yang meliputi kerja berpasukan, turun padang, penyelesaian luar kebiasaan serta pemantauan dari peringkat keputusan hingga pelaksanaan turut menjadi panduan dalam penyediaan belanjawan berkenaan.
Setiap cadangan peruntukan akan diteliti berdasarkan manfaatnya kepada rakyat, kejelasan pelaksanaan dan tempoh masa yang ditetapkan supaya perbelanjaan kerajaan dapat menghasilkan impak yang nyata dan berkesan.
Belanjawan Johor 2027 juga merupakan belanjawan pertama bagi penggal pentadbiran baharu selepas Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor ke-16, sekali gus menjadi landasan penting bagi meneruskan agenda pembangunan serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Untuk rekod, Belanjawan Johor 2026 bertemakan “Bangsa Johor Sejahtera” telah melibatkan peruntukan sebanyak RM2.546 bilion bagi melaksanakan 260 inisiatif, selain merupakan belanjawan lebihan bagi tahun keempat berturut-turut.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


