909 UNIT RUMAH MAMPU MILIK DITAWARKAN DI LIMA DAERAH

Daripada jumlah itu, sebanyak 434 unit ditawarkan di Batu Pahat, diikuti 173 unit di Muar, 125 unit di Kulai, 110 unit di Pontian dan 67 unit di Skudai, Johor Bahru | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Sebanyak 909 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bersubsidi ditawarkan di lima daerah, iaitu Kulai, Johor Bahru, Pontian, Muar dan Batu Pahat, dengan harga antara RM42,000 hingga RM250,000 bagi memperluas peluang pemilikan kediaman kepada Bangsa Johor.
Daripada jumlah itu, sebanyak 434 unit ditawarkan di Batu Pahat, diikuti 173 unit di Muar, 125 unit di Kulai, 110 unit di Pontian dan 67 unit di Skudai, Johor Bahru, jelas YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
Tawaran bagi November dan Disember 2026 ini merangkumi pelbagai kategori kediaman, termasuk rumah teres dua tingkat serta rumah bersubsidi yang ditawarkan mengikut projek dan syarat kelayakan yang telah ditetapkan.
Di Johor Bahru, rumah teres dua tingkat di Taman Skudai Indah 1 dan Taman Skudai Indah 2 ditawarkan pada harga RM150,000, manakala di Kulai, rumah di Taman Lagenda Putra ditawarkan pada harga RM42,000 dan RM80,000.
Bagi daerah Pontian, tawaran merangkumi Residensi Bangsa Johor pada harga RM100,000 dan RM170,000 serta rumah di Taman Rimba Jaya 2 pada harga RM42,000 dan RM80,000.
Sementara itu, di Muar, projek rumah teres dua tingkat di Bandar Baru Bakri ditawarkan pada harga RM150,000, manakala projek di Taman Genting Pura Kencana, Batu Pahat, menyediakan pilihan kediaman pada harga RM50,000, RM100,000 dan RM250,000.
Selain perumahan, Kerajaan Negeri turut menawarkan kedai bersubsidi di Mukim Tebrau, Johor Bahru, dan Mukim Simpang Kanan, Batu Pahat, pada harga RM200,000 seunit bagi membantu peniaga mendapatkan premis perniagaan sendiri.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek, syarat kelayakan dan tempoh permohonan menerusi sistem e-Rumah Johor.
Kerajaan Negeri turut memaklumkan bahawa lebih banyak tawaran rumah mampu milik dijangka dibuka pada 2027 di seluruh daerah di negeri ini bagi meneruskan usaha memperluas akses pemilikan kediaman kepada Bangsa Johor serta mencapai sasaran pembinaan 100,000 unit RMMJ menjelang 2030.
#JohorSafeZone
#RumahMampuMilikJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


