EMPAT DITAHAN, TIGA LAGI DIBURU KES BAKAR MERCUN DI JALAN RAYA

Kenyataan media Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara
#IskandarPuteri – Polis menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 16 hingga 25 tahun susulan video tular yang memaparkan kejadian pembakaran mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai.
Kesemua suspek terbabit ditahan kira-kira jam 7.30 malam semalam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dalam operasi sekitar Skudai, selain beberapa rampasan turut dibuat susulan penularan rakaman video berkenaan.
Hasil semakan mendapati bahawa kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala keputusan ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua mereka adalah negatif.
Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada hari ini dan permohonan reman dibenarkan selama tiga hari sehingga 11 November 2026 bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan gopoh atau cuai melibatkan bahan letupan sehingga membahayakan nyawa atau berkemungkinan menyebabkan kecederaan kepada orang lain.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung perbuatan memberhentikan atau membiarkan kenderaan berhenti di jalan raya sehingga mendatangkan bahaya, halangan atau kesusahan yang tidak berpatutan kepada pengguna jalan raya lain.
Dalam perkembangan sama, polis kini giat mengesan tiga lagi individu yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya kepada pihak polis melalui Hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


