KERJASAMA JTLAB & YAPEIM BANTU 13 USAHAWAN JOHOR RAIH SIJIL HALAL

Kerjasama JTLab bersama YaPEIM ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan membangunkan perniagaan yang mampan, meningkatkan daya saing produk serta memanfaatkan potensi besar pasaran halal. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid.
#IskandarPuteri – Seramai 13 usahawan Johor berjaya memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dalam tempoh hanya tiga bulan menerusi program latihan, konsultasi dan bimbingan halal melalui kerjasama Johor Toyyiban Laboratories Sdn. Bhd. (JTLab) bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sepanjang tahun 2026.
Pencapaian itu membuktikan bimbingan dan sokongan yang bersasar telah berjaya membantu usahawan tempatan, khususnya golongan asnaf untuk meningkatkan kualiti produk serta menembusi pasaran industri halal yang lebih luas.
Selain bimbingan pensijilan halal, JTLab turut menyediakan khidmat pemeriksaan dan analisis makmal, penambahbaikan aspek pembungkusan, reka bentuk serta pelabelan produk bagi memastikan hasil keluaran usahawan terbabit dapat memenuhi piawaian dan keperluan industri.
Kerjasama JTLab bersama YaPEIM ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan membangunkan perniagaan yang mampan, meningkatkan daya saing produk serta memanfaatkan potensi besar pasaran halal.
Usaha ini turut menyokong Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030) yang menggariskan tujuh hala tuju strategik dan 21 inisiatif, termasuk sasaran menarik pelaburan industri halal bernilai RM5 bilion menjelang 2030, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai antara peneraju utama industri halal negara.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor bersama delegasi JTLab mengadakan kunjungan hormat ke YaPEIM di Putrajaya, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#SPHM
#JTLab
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



